Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Pulihara tapak warisan – PM

Utusan online 23/11/2008


MENARIK... Persembahan Polis Pelancong Melaka paling menambat hati tetamu kenamaan dan penonton pada majlis pengisytiharan Melaka dan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia di Dataran Merdeka, malam tadi.


KUALA LUMPUR 22 Nov. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu kerajaan Pusat dan negeri bersama-sama memastikan Tapak Warisan Dunia iaitu Melaka dan Georgetown terus terpelihara, tidak terganggu, dirosakkan ataupun dimusnahkan.

Perdana Menteri menegaskan, penjagaan terhadap warisan dunia itu seperti bangunan, monumen, alam semula jadi, warisan budaya mesti sentiasa dititikberatkan.

‘‘Lakukan perancangan yang teliti dan pragmatik agar pengekalan warisan di kedua-dua bandar ini akan dapat dilakukan dengan terancang dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Melaka dan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dataran Merdeka di sini malam ini.

Penyerahan watikah itu disampaikan oleh Presiden Suruhanjaya Kebangsaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kepada Tuanku Mizan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas; Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Abdullah menegaskan, Melaka dan Pulau Pinang perlu mengambil segala langkah melindungi Tapak Warisan Dunia.

Jelas beliau, kegagalan untuk memenuhi segala garis panduan yang ditetapkan termasuklah kawalan terhadap pembangunan akan mengakibatkan pengiktirafan ini ditarik balik.

‘‘Jika ini berlaku, ia adalah satu kerugian yang amat besar bukan sahaja kepada negeri terlibat, tetapi juga kepada negara.

‘‘Ingatlah Malaysia mempunyai tiga sahaja Tapak Warisan Dunia justeru, pertahankanlah ia dengan apa jua cara sekalipun,” tegas beliau.

Abdullah memberitahu, Malaysia tidak pernah mengabaikan atau melupakan khazanah warisan negara baik dari segi aspek alam sekitar mahupun dari segi budaya dan seni bina walaupun merupakan negara yang paling maju di kalangan negara membangun.

Ujar beliau, pengiktirafan Melaka dan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia merupakan satu pengiktirafan yang tepat dan bersesuaian.

‘‘Sejarah Melaka dan Georgetown ini telah bermula sejak beratus-ratus tahun dan kedudukan kawasan ini begitu strategik dengan menjadi laluan perdagangan terpenting antara timur dan barat.

‘‘Kedatangan pedagang luar telah membawa budaya dan amalan cara hidup mereka yang akhirnya telah meletakkan kedua-dua bandar raya itu sebagai dua kawasan yang begitu kaya dengan pelbagaian masyarakat, agama dan budaya serta penuh warna-warni,” katanya.

Jelasnya, kedua-dua bandar raya ini merupakan permulaan sejarah Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi Malaysia dengan rakyat berbilang-bilang kaum dan agama.

Ujar beliau, inilah keistimewaan dan keunikan Malaysia serta menjadi kekuatan negara.

Perdana Menteri seterusnya memberitahu, sebagai Tapak Warisan Dunia kedua-dua bandar raya itu setaraf dengan tapak-tapak lain seperti Venice di Itali, Lyons di Perancis, Hoi An di Vietnam dan Li Jiang di China.

Jelas beliau, pengiktirafan ini juga akan membolehkan kedua-dua bandar raya itu mencatatkan kedatangan pelawat yang tinggi seperti mana yang dicapai oleh tapak-tapak warisan dunia lain.

0 Comments:

Post a Comment