Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Jangan bangun projek di Tapak Warisan Dunia

Utusan online 23/11/2008

KUANTAN 22 Nov. - Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan mengingatkan Kerajaan Pulau Pinang dan Melaka supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan projek pembangunan moden di kawasan yang diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia di kedua-dua negeri itu.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (gambar) berkata, projek pembangunan moden yang dibuat tanpa dirujuk kepada kerajaan Pusat boleh menyebabkan status Tapak Warisan Dunia ditarik balik oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menurutnya, satu jawatankuasa telah dibentuk yang dianggotai para pegawai kerajaan Pusat dan kedua-dua kerajaan negeri itu bagi memantau pembangunan di kawasan tapak warisan dunia itu.

''Tidak ada jaminan bahawa status tapak warisan dunia akan kekal selama-lamanya. Status itu boleh ditarik balik oleh UNESCO jika tidak ada penjagaan khusus terhadap warisan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Perpaduan Parlimen Paya Besar dekat sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan kerajaan Pulau Pinang untuk membangunkan empat hotel setinggi 20 tingkat di zon larangan pembangunan pesat di Georgetown.

Tindakan kerajaan Pulau Pinang itu juga turut dibantah oleh kerajaan Melaka kerana penarikan status tersebut akan turut membabitkan negeri tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie menegaskan, kedua-dua kerajaan negeri itu perlu merujuk kepada jawatankuasa terbabit sebelum melaksanakan sebarang pembangunan di kawasan tersebut.

''Setiap pembangunan akan dipastikan agar ia tidak menjejaskan tinggalan sejarah di kawasan terbabit," jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan sedang mengenal pasti beberapa kawasan sejarah lagi untuk mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia.

Antaranya, kata beliau, ialah Sungai Lembing yang merupakan bandar perlombongan yang terkenal suatu ketika dahulu sama ada di negara ini mahupun di peringkat dunia.

''Banyak tempat telah kita kenal pasti, bukan sahaja di Pahang. Pengiktirafan ini akan membolehkan badan dunia memberi promosi pelancongan percuma kepada kita," katanya.

1 Comment:

  1. MY HOMESTAY said...
    Hello
    Tahniah kepada bandar Melaka dan Georgtown di atas pengiktirafan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Diharap pihak berwajib tidak menggunakan sewenang2nya pengiktktirafan yang diberikan dan tidak menjadikannya sebagai batu loncatan untuk mengaut keuntungan. Warisan dan budaya bukannya sumber yang boleh ditukarkan ganti. Jika warisan ketara dan tak ketara maka hilanglah indentiti bangsa kita. Jadi kita harus sedar bahawa apa jua yang kita lakukan, budaya warisan harus diutamakan demi generasi akan datang.

    Deen

Post a Comment