Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Projek IBS RM9.2b lulus

Bharian online 30/10/2008


KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan sebanyak 404 projek menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) bernilai RM9.2 bilion sehingga 14 Oktober lalu yang dijangka mengurangkan pergantungan negara kepada pekerja asing pada masa depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed, berkata sebanyak 121 lagi projek menggunakan sistem berkenaan atau dikenali juga sebagai sistem pembinaan pasang siap, akan ditender bagi 2009 dan 2010.

Disamping itu, katanya lagi, kerajaan juga mengarahkan setiap agensi kerajaan yang melaksanakan projek pembangunan dan perumahan rakyat menggunakan sekurang-kurangnya 70 peratus kandungan IBS.

“Kerajaan memutuskan pelaksanaan IBS akan dipergiatkan lagi selaras usaha mengurangkan pergantungan kepada sumber tenaga kerja asing kurang mahir.

“Ini peluang besar dan seharusnya direbut untuk manfaat industri pembinaan tempatan,” katanya pada sidang media selepas sesi perjumpaan dengan kontraktor mengenai kadar perubahan harga (VOP), di sini, semalam.

Beliau berharap dengan pelaksanaan pelan induk IBS, usaha untuk mengurangkan kebergantungan pekerja asing kepada hanya 250,000 orang menjelang 2015 dapat dijayakan.

“Kita menggesa sektor pembinaan swasta menggunakan kaedah sama kerana ia terbukti di negara maju dapat mengurangkan jumlah pekerja asing, selain menjamin kualiti pembinaan dan menggalakkan penggunaan tenaga mahir tempatan,” katanya.

Beliau berkata, bagi membantu semua pihak melaksanakan IBS, sebuah sekretariat Kebangsaan ditubuhkan dalam kementeriannya untuk menyelaras, memantau dan membantu semua pihak termasuk swasta dalam melaksanakan sistem itu.

Mohd Zin berkata, selain kaedah IBS, kerajaan memperuntukkan RM100 juta kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk menghasilkan 100,000 tenaga mahir tempatan dalam sektor itu tahun depan.

“Kita mempunyai kira-kira 320,000 tenaga buruh asing yang sah dan sekiranya mereka ini digantikan dengan tenaga tempatan, pasti aliran keluar wang oleh pekerja asing ini dapat dikurangkan,” katanya.

Sentral: DBKL bersih, cat rumah

Bharian online 29/10/2008

Oleh Sharifah Salwa Syed Akil


FLET Taman Miharja akan dicat baru oleh DBKL tidak lama lagi.

Flat Taman Miharja yang usang bakal berwajah baru

KUALA LUMPUR: Rumah Pangsa Taman Miharja akan berwajah baru apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja pembersihan dan mengecat bangunan itu mulai November ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab Hakim Borhan, berkata pemilihan itu bertepatan memandangkan keadaan perumahan itu yang usang selain menjadi pintu masuk utama ke ibu negara.


“Sasaran kita tahun ini adalah Rumah Pangsa Taman Miharja kerana keadaannya yang teruk dan usang. Lagipun, perumahan ini di tepi jalan dan menjadi pintu masuk utama ke ibu kota.


“Bagaimanapun, untuk perumahan lain kita belum memutuskannya lagi tetapi perumahan di tepi jalan protokol kita mungkin akan meminta mereka untuk mengecat sendiri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, program pengindahan bandar raya Kuala Lumpur dimulakan sejak penganjuran Persidangan Pelancongan Asia Pasifik (Pata) 1988, Mesyuarat Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM) dan diteruskan untuk Sukan Komanwel dan Sukan Sea XXI.

Katanya, kerajaan persekutuan memberi peruntukan RM1.5 juta kepada DBKL untuk melaksanakan kerja pengindahan pada 2002.


Daripada jumlah itu sebanyak RM650,000 sudah digunakan untuk mengecat bangunan usang dan membersihkan struktur yang ditinggalkan sempena Sidang Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada 2002 dan 2003.

“Sempena Tahun Melawat Malaysia dan Perayaan Hari Kemerdekaan ke-50 pada 2006, Datuk Bandar Kuala Lumpur mengarahkan kerja pembersihan dan pengindahan diteruskan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM2 juta.

“Ini kerana, isu bangunan usang di Kuala Lumpur sering ditimbulkan pada mesyuarat jemaah menteri dan mesyuarat ketua organisasi kerajaan. Justeru, program berkenaan diteruskan tahun ini dengan pemilihan Rumah Pangsa Taman Miharja,” katanya.

Pada perkembangan lain, Ab Hakim berkata, Kempen Bulan Kebersihan Kuala Lumpur akan diadakan pada 1 November ini di Jalan Masjid India.

Program yang membabitkan DBKL, Alam Flora dan komuniti setempat itu merangkumi aktiviti gotong royong, kempen, pameran, penguatkuasaan dan penanaman pokok untuk memberi kesedaran kepada warga kota supaya sentiasa peka dan sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan dan keindahan Kuala Lumpur.

“Program gotong royong dan pameran akan diadakan pada 1,8,15 dan 22 November di empat kawasan parlimen terpilih iaitu Bukit Bintang (kawasan Masjid India), Setiawangsa, Kepong dan Titiwangsa.

“Kempen ‘anti litter’ di kawasan pusat bandar akan diadakan pada 1 hingga 30 November ini, terbahagi kepada beberapa aspek iaitu pendidikan, khidmat nasihat dan penguatkuasaan,” katanya.

;;