Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Bocor lagi, Kafeteria kompleks mahkamah dibanjiri air paip pecah

BANJIR LAGI... Para pekerja membersihkan lantai kafeteria yang digenangi air akibat paip pecah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, semalam.




Oleh THOMAS CHONG (sumber dari UTUSAN MALAYSIA)

KUALA LUMPUR 23 Mei – Kejadian paip bocor dari siling kompleks mahkamah baru bernilai ratusan juta ringgit di Jalan Duta hari ini menimbulkan banyak persoalan ‘apa sudah jadi?’
Sekali terlintas di fikiran, adakah kerana bahan-bahan yang digunakan dalam pembinaan itu tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan?
Atau, adakah kerana hasil kerjanya tidak berkualiti, ataupun mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan cara pengawasan oleh pihak-pihak berkuasa?
Jika hendak difikirkan persoalan ini, mungkin terlalu banyak yang mahu dicatatkan, tapi semua pihak harus membuka mata kerana wang yang digunakan untuk pembinaan kompleks itu dan bangunan kerajaan lain adalah hasil wang cukai rakyat.
Yang pasti, kejadian demi kejadian – bocor, runtuh, retak ini – sungguh memalukan negara.
Lebih mengaibkan, kejadian-kejadian itu juga telah mengakibatkan berlaku tuding-menuding dan tuduh-menuduh ‘siapa salah’ antara kementerian.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, salah satu penyambung T paip di bilik servis kafeteria mahkamah itu dilaporkan pecah lalu menyebabkan sebahagian besar lantai bahagian itu dibanjiri air yang melimpah keluar dari bilik tersebut.
Berikutannya, pihak mahkamah yang baru beroperasi kurang sebulan itu terpaksa mengerahkan pekerjanya untuk membersihkan lantai yang digenangi air.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Dr. Ir. Judin Abdul Karim, pihaknya mengejarkan pegawai ke tempat kejadian sejurus selepas menerima laporan kebocoran pada pukul 9.30 pagi dan berjaya mengawal keadaan 10 minit kemudian.
‘‘Kami berjaya mengawal keadaan pada pukul 9.40 pagi, kafeteria bagaimanapun hanya dapat beroperasi secara biasa pada pukul 12 tengah hari,’’ katanya kepada pemberita selepas meninjau kesan kebocoran di sini tengah hari ini.
Jelas Judin, paip yang dilaporkan bocor itu disambungkan dengan sebuah tangki berkapasiti menyimpan 18,018 liter air yang terletak di aras sembilan bangunan tersebut.
‘‘Tangki itu digunakan untuk menyalurkan bekalan air menggunakan cara graviti kepada kafeteria mahkamah,’’ ujarnya.
Tambahnya, insiden kebocoran tersebut juga akan dilaporkan kepada badan berkenaan termasuk Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (CIDB) untuk tindakan lanjut.
Ini merupakan kejadian kerosakan kedua di Kompleks Mahkamah Jalan Duta yang beroperasi awal bulan ini .
Pada bulan lepas, dua siling mahkamah berukuran 1.48 meter persegi runtuh di sebuah bilik Mahkamah Sivil di kompleks itu.
Kejadian kebocoran paip pagi ini pula merupakan kejadian ketiga yang dilaporkan melibatkan premis-premis kerajaan dalam tempoh dua bulan.
Kejadian serupa pernah dilaporkan di Ibu Pejabat Imigresen dan Dewan Serbaguna Kementerian Pembangunan dan Koperasi, masing-masing pada 11 April dan 28 April di Putrajaya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegur Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu kerana menuduh pengurusan Parlimen bertanggungjawab apabila bumbung bangunan Parlimen bocor baru-baru ini.
Tanggungjawab
Abdullah yang ditanya pemberita mengenai senario itu, dalam lawatannya di Tokyo semalam berkata, beliau telah memberitahu Samy bahawa JKR bertanggungjawab terhadap kerja-kerja penyenggaraan bangunan kerajaan.
‘‘Usah bertengkar sesama sendiri, malu! Sudah la orang tak seronok dengan apa yang berlaku, yang hendak bertanggungjawab dan siapa bertanggungjawab pun jadi isu umum,’’ katanya.
Sementara itu, satu pergaduhan berlaku di tempat kejadian di kafeteria mahkamah itu apabila seorang pengawal keselamatan bertindak menghalang jurufoto sebuah akhbar tempatan untuk menangkap gambar kejadian paip bocor itu.
Kejadian itu berlaku apabila pengawal keselamatan yang tidak dikenali identitinya itu mengeluarkan kata-kata kesat serta menanggalkan pakaian seragamnya di hadapan wakil media sebagai ‘persediaan’ untuk bergaduh.
Suasana kelam-kabut tersebut bagaimanapun berjaya diselesaikan secara aman apabila pegawai lain dari kompleks mahkamah tersebut membawa keluar pengawal keselamatan yang ‘naik angin’ itu dari kafeteria.

1 Comment:

  1. Anonymous said...
    read the first hand account (with pics) a blogger of the bocor incident here http://almostanonymous.blogspot.com/

Post a Comment