Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Pengisytiharan tapak warisan dunia Ahad ini

Utusan online 18/11/2008

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Majlis penyerahan watikah pengisytiharan Melaka dan Georgetown, Pulau Pinang sebagai tapak warisan dunia akan diadakan di Dataran Merdeka pada Ahad ini.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dijangka berkenan menyempurnakan majlis tersebut yang akan bermula pada pukul 7.45 malam.

Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dalam kenyataannya di sini memberitahu, majlis itu diadakan bagi meraikan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terhadap kedua-dua bandar tersebut pada 7 Julai lalu.

"Pengiktirafan ini merupakan yang pertama kali ke atas tapak warisan di bawah kategori kebudayaan," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, upacara penerimaan plak dan watikah pengiktirafan daripada pihak UNESCO kepada kerajaan Malaysia akan diadakan dengan penuh adat istiadat kerajaan Melayu lama termasuk perarakan bergajah dan berkuda.

"Turut diadakan perarakan dan persembahan kebudayaan dengan penyertaan masyarakat berbilang-bilang kaum dan budaya seperti perarakan Baba Nyonya, Chetti, Portugis, Chingay dan lain-lain.

"Ia bagi menonjolkan nilai warisan yang terdapat di kedua-dua negeri terbabit terutama di kawasan yang diiktiraf sebagi warisan dunia oleh UNESCO," katanya.

Selain itu, terdapat juga perarakan kereta berhias seperti pertukangan besi, makanan warisan, perusahaan tradisi dan pertukangan tangan, perarakan beca berhias, kereta lembu dan pertunjukan bunga api.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir untuk bersama-sama memeriahkan majlis selain berhibur bersama artis-artis jemputan seperti Alleycats, Ziana Zain dan Mila AF5.

Pencahayaan semula jadi

Bharian 16/11/2008

Oleh Hamidon Abdullah


Sinaran matahari ke dalam rumah bantu kurangkan kelembapan.

Sinaran matahari dapat jimatkan penggunaan tenaga elektrik dan baik untuk kesihatan penghuni rumah

PENCAHAYAAN amat penting dalam kehidupan seharian. Dengan adanya sumber cahaya segala aktiviti dapat dijalankan dengan sempurna. Sumber cahaya diperoleh sama ada secara sumber semula jadi atau tenaga elektrik.

Pada waktu siang, sumber cahaya semula jadi iaitu matahari adalah sumber cahaya yang digunakan menerangi persekitaran, sementara pada waktu malam sumber cahaya buatan dari tenaga elektrik pula mengambil alih tugas itu.

Antara ciri rumah mesra alam seterusnya adalah menggunakan sumber cahaya semula jadi sebagai punca cahaya. Sebagai negara beriklim tropika, kita tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan sumber cahaya semula jadi yang dihasilkan oleh sinar matahari.

Sinaran matahari yang diperoleh sepanjang tahun seharusnya digunakan secara bijak kerana kita bukan saja dapat menjimatkan penggunaan tenaga elektrik malah baik untuk kesihatan penghuni rumah. Apatah lagi, sinar matahari pagi dikatakan mengandungi banyak kelebihan untuk perkembangan fizikal dan kulit manusia.

Kelebihan memperoleh sinaran cahaya matahari ke dalam ruang kediaman juga dapat membantu mengurangkan kelembapan di dalam ruang seterusnya melenyapkan bakteria berpunca dari ruang lembap.

Apabila seluruh ruang memperoleh sinar cahaya matahari yang cukup, maka bakteria yang dikenali sebagai hama dapat dihindari. Binatang yang menghasilkan hama seperti tikus amat menyukai tempat gelap dan lembap.

Menerusi sinar cahaya yang menyinar ke dalam rumah, haiwan atau serangga pemusnah seperti lipas, semut dan anai-anai yang menyukai tempat gelap dan lembap dapat dihindari.

Kedudukan cahaya matahari yang terbit dari timur dan tenggelam di barat sebaiknya diambil kira dalam menentukan kedudukan sesuatu bangunan. Adalah baik sekiranya bukaan seperti tingkap atau pintu dibuat pada kedudukan sesebuah kediaman dapat memperoleh cahaya matahari pagi pada bahagian hadapan dan cahaya matahari petang pada bahagian belakang.

Kelebihan ini membantu dari segi keselesaan kerana cahaya matahari waktu petang agak terik berbanding pada waktu pagi. Bagi kedudukan menghadap utara pula cahayanya tidak terik, begitu juga pada kedudukan menghadap selatan.

Bagi memperoleh cahaya maksimum, setiap ruang digalakkan menawarkan sekurang-kurangnya tiga bukaan sisi. Tujuannya untuk memperoleh sinar cahaya pada waktu yang berbeza.

Pancaran cahaya matahari yang diperoleh bukan saja menghasilkan cahaya tetapi juga mengeluarkan bahang. Cahaya siang hari ini banyak memberi kesan psikologi selain untuk kemudahan praktikal. Kesan pencahayaan akan berubah-ubah mengikut masa pada satu hari, pada musim tertentu dan pada kedudukan dari satu tempat ke tempat yang lain. Kesan cahayanya boleh diserap oleh awan, jerebu dan juga bila berlaku hujan. Dengan itu kesan cahaya yang diterima akan berkurangan dan berubah-ubah mengikut kedudukan matahari.

Bagi rumah kediaman, kesan cahaya semula jadi yang berlaku pada siang hari dari segi kuantiti dan kualiti biasanya ditentukan oleh saiz dan orientasi tingkap.

Kadar iluminasi atau penerangan cahaya siang hari atau cahaya semula jadi yang memasuki ruang dalaman bergantung pada kedudukan dan saiz bukaan atau tingkap.

Pada dasarnya, bila besar dan lebar tingkap maka lebih banyak cahaya akan memasuki ruang. Kesan daripada kemasukan cahaya ke dalam ruang ini juga dibantu secara efektif oleh siling dan dinding belakang berbanding dinding sisi dan lantai. Selain itu, permukaan yang berwarna cerah akan membalik dan menyebarkan cahaya lebih efektif berbanding permukaan gelap. Cuba elak menggunakan permukaan berkilat yang membalikkan cahaya serta menghasilkan silau.

Kesan cahaya berlebihan menghasilkan silau. Silau ini akan menghalang dan mengganggu daya penglihatan pengguna ruang. Terdapat dua silau iaitu silau secara terus yang disebabkan kesan cahaya yang berlebihan terhadap daya penglihatan manusia normal manakala silau tidak terus disebabkan kesan pembalikan yang berlebihan pada objek oleh cahaya kepada penglihatan manusia. Silau ini boleh dikawal dengan memasang alat pengawal silau seperti bidai ram, ram tetap mendatar atau menanam pokok dan tumbuhan bersebelahan bangunan.

Pada ketika ini, kebanyakan pemilik rumah mula sedar dan menggunakan secara baik kelebihan cahaya matahari bukan saja untuk menerangi ruang tetapi bagi menghasilkan sumber tenaga.

Penggunaan tenaga solar sebagai punca tenaga alternatif amat digalakkan bagi mengurangkan pergantungan tenaga elektrik. Kerajaan harus menggalakkan penggunaan secara meluas dengan mengurangkan harga alat penyimpan tenaga suria supaya penggunaan menyeluruh hingga ke kediaman sederhana dan rendah. Ketika ini, hanya kediaman mewah dan banglo saja dilihat menggunakannya. Menerusi galakan pihak bertanggungjawab mengenai kesedaran mengguna sumber cahaya semula jadi, masyarakat lebih menghargai akan kelebihan sumber cahaya semula jadi dengan menggunakan untuk tujuan bermakna.

INFO: Penggunaan cahaya

  • Membuat bukaan cahaya pada daun pintu supaya walaupun pintu bertutup, cahaya masih boleh masuk.

  • Membuat tingkap yang mempunyai bukaan luas bagi membolehkan lebih cahaya memasuki ruang. Ini akan menjimatkan penggunaan lampu pada siang hari.

  • Membuat bukaan pada setiap sisi dan atas bangunan seperti bumbung telus cahaya untuk memperoleh sinar matahari sepanjang hari.

  • Keperluan cahaya boleh digunakan pada kabinet dan almari bagi membantu mengurangkan kelembapan serta mengelak serangga perosak bersarang di tempat terlindung cahaya.

  • Melakukan aktiviti yang memerlukan tumpuan dan keperluan cahaya berdekatan dengan tingkap atau bukaan.

;;