Bersediakah Jurukur Bangunan menghadapi kelembapan ekonomi 2009
0 comments Posted by UKUR BANGUNAN (BUILDING SURVEY) at 15:35Salam sejahtera kepada semua jurukur bangunan.
Selamat tahun baru 2009 kepada semua.Pada tahun ini dijangka kelembapan ekonomi global dan krisis kewangan yang teruk bakal berlaku.Ianya secara langsung memberi impak kepada profesion ukur bangunan.
Yang pasti kerajaan dan swasta akan meminimumkan segala kos perbelanjaan dan penawaran projek berkaitan penyenggaraan bangunan.Oleh yang demikian dijangka kebanyakan firma yang menjalankan praktis ukur bangunan akan menghadapi masalah dan perlu bertahan sehingga kerajaan dapat menstabil ekonomi serta membuat polisi semasa yang terbaik untuk meredakan kekusutan ekonomi negara.
Secara langsung 4 asas dalam pembikinan memaksimumkan keuntungan dan pengekalan akan diambil oleh firma swasta dalam menghadapi krisis ekonomi:
1. Masa mendatar
-Fokus kepada faedah jangka pendek dan cuba mendapatkan keuntungan sebanyak mungkin tanpa menghiraukan kesan jangka panjang.
2.Jangkaan pulangan
-Tidak mempertimbangkan pengembalian masa(keuntungan) dan nilai masa untuk wang.
3.Pengagihan pendapatan
-Kecenderungan untuk mengenepikan hasrat pemilik firma untuk mendapatkan bahagian bayaran dalam bentuk dividen.
4.Risiko
-Mengurangkan pertimbangan risiko untuk cuba memaksimumkan keuntungan, dimana risiko yang tinggi akan berhadapan dengan pulangan yang tinggi juga.
Selain itu juga dijangka pemberhentian pekerja oleh majikan(swasta) akan terus berlaku dan sebagai satu profesion baru di Malaysia(merujuk ukur bangunan) sudah pasti akan menerima tempias ini.
Utusan online 31/12/2008
PUTRAJAYA 30 Dis. - Hampir seluruh tempat letak kereta di aras B1 dan B2 bangunan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Presint 3 di sini digenangi air hingga paras buku lali dipercayai akibat bumbung bocor.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Samsudin Osman yang terkejut dengan situasi berkenaan berkata, kejadian itu mungkin berpunca daripada kebocoran pada bumbung bangunan yang kini dalam proses penyelenggaraan.
Utusan Malaysia difahamkan, ini kali pertama bumbung bangunan pejabat berkenaan mengalami kebocoran sejak ia digunakan lima tahun lalu.
''Saya mahu pihak terbabit segera menyiasat kejadian itu dan mengambil tindakan sebelum beberapa lagi bangunan kementerian lain mengalami masalah yang sama,'' katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati air mula bertakung di aras B1 sebelum menitis ke aras B2, mengakibatkan air bertakung di kedua- dua kawasan tempat meletak kenderaan yang terletak di Podium A.
Air kelihatan masih keluar dari beberapa kawasan bumbung apabila air yang bertakung di aras B1 menitis ke aras B2.
Ini kali kedua kejadian bumbung bocor di Putrajaya berlaku bulan ini selepas sebahagian besar Auditorium Cempaka Sari, Kompleks PPj digenangi air akibat bumbung bocor pada 11 Disember lalu.
Kejadian tersebut berlaku ketika forum Ketidaktentuan Kewangan Global dan Masa Depan Malaysia, yang dihadiri kira-kira 600 tetamu termasuk Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sedang berlangsung.
Malaysia IBS International Exhibition 2009
0 comments Posted by UKUR BANGUNAN (BUILDING SURVEY) at 14:03Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysian (CIDB) bakal menganjurkan program Malaysia IBS International Exhibition 2009 seperti butiran di bawah:
Tarikh : 21 - 23 Januari 2009
Tempat : Dewan Pameran Pusat IBS, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur
Untuk maklumat lanjut sila layari http://www.cidb.gov.my/miie2009/
Kesan penilaian alam sekitar patut dipatuhi
0 comments Posted by UKUR BANGUNAN (BUILDING SURVEY) at 19:18Utusan online 10/12/2008
PADA 1993, Malaysia digemparkan dengan tragedi menyayat hati di mana berlakunya insiden yang mengorbankan 48 nyawa di runtuhan bangunan kondominium di Highland Towers. Puncanya adalah pergerakan tanah di lereng bukit yang menyebabkan berlakunya tanah runtuh dan menumbangkan bangunan kondominium di kawasan tersebut. Hari ini, kejadian yang sama berulang kembali. Ironinya di sini, lokasi kejadian hanyalah 1.5 km dari lokasi runtuhnya kondominium Highland Towers dahulu. Persoalannya di sini, mengapakah episod yang menyayatkan hati itu berulang kembali?
Seperti sedia maklum, iklim Khatulistiwa yang dialami oleh negara tropika seperti Malaysia, merupakan iklim yang mempunyai taburan hujan tahunan yang tinggi terutama sekali pada musim-musim tengkujuh iaitu di sekitar bulan November dan Disember. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan berlakunya tahap kelembapan relatif yang tinggi, justeru turut mempengaruhi tahap kelembapan tanah, kekuatan struktur tanah, keseimbangan kandungan bendalir di dalam tanah dan pelbagai lagi perkara yang berkaitan.
Namun begitu, kita bertuah kerana Malaysia dikelilingi Hutan Hujan Khatulistiwa yang padat memenuhi Banjaran Titiwangsa dengan daunnya yang lebar serta berakar tunjang, sekali gus mampu menampung dan menerima taburan hujan yang lebat dan bertindak sebagai pemangkin kepada tanah.
Namun begitu, apabila pembangunan semakin dituntut, kebanyakan pemangkin tanah ini terpaksa ditebang untuk memenuhi tuntutan arus permodenan. Bermula dari faktor inilah, maka bencana-bencana alam seperti banjir kilat dan tanah runtuh semakin kerap terjadi.
Dalam merungkaikan permasalahan ini, pelbagai persoalan telah timbul. Haruskah pembangunan dihentikan? Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan dalam situasi ini?
Melihat kepada sejarah pembangunan di Malaysia, didapati 35 - 40 peratus pembangunan diadakan di kawasan-kawasan tanah tinggi dan lereng-lereng bukit yang memerlukan bukit-bukit ditarah, dibersihkan ataupun diratakan untuk memberi laluan kepada proses pembangunan. Ada di antaranya bersifat komersial seperti pembinaan resort-resort percutian, ada yang bertujuan untuk memenuhi kehendak prasarana awam dan ada juga projek-projek hakmilik persendirian.
Kelulusan
Namun begitu, semuanya perlu melalui proses kelulusan dan pematuhan dasar yang sama mengikut keperluan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Menurut Garis Panduan Pembangunan Tanah Tinggi 2002 dan 2005, aktiviti-aktiviti pembangunan bagi kawasan kediaman adalah dilarang sama sekali didirikan pada kawasan yang merangkumi 300 meter ke atas ataupun berkecerunan 35 darjah.
Ini sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menangani masalah-masalah ini dari berlaku. Namun begitu, masih terdapat segelintir pihak pemaju yang begitu tegar dan sanggup melanggar garis panduan ini demi mencapai keuntungan wang ringgit.
Dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan, PBT seharusnya bersifat lebih tegas dalam memastikan pihak-pihak pemaju mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Antara pra syarat pembangunan yang seharusnya diperketatkan adalah pelaksanaan Kajian Kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA) dan Kajian Feasibiliti sebelum mana-mana projek boleh diteruskan.
Pematuhan perkara ini amat penting, kerana melalui kajian ini sahajalah penilaian bagi kesan pembangunan jangka panjang terhadap alam sekitar boleh diperhalusi dan pelbagai langkah pencegahan boleh diutarakan melalui kajian yang dinamik.
Ini selaras dengan kehendak kerajaan yang ingin memelihara alam sekitar seterusnya mencapai kestabilan rantaian flora dan fauna.
PBT juga seharusnya memastikan laporan hasil penilaian alam sekitar ini dipantau sepenuhnya oleh pihak-pihak profesional yang terdiri daripada jurutera, juruukur bangunan, arkitek dan profesion lain yang berkaitan bagi memastikan laporan yang dihasilkan adalah meliputi pelbagai tuntutan Proses Sebelum Bina.
Pihak pemaju seharusnya ditapis melalui saluran yang betul, dinilai dan dikaji melalui keputusan laporan EIA yang dihasilkan dengan melalui prosedur-prosedur yang ketat.
Proses pembangunan tanah di lereng-lereng bukit seharusnya melalui fasa penyiasatan tanah dan impak struktur yang dikoordinasikan oleh jurutera bertauliah. Bagi fasa cadangan penyelenggaraan fasiliti secara berkala dan kemudahan prasarana pembangunan, ia seharusnya diselia oleh juruukur bangunan bertauliah, manakala fasa kehendak dan keperluan reka bentuk dipantau sepenuhnya oleh arkitek bertauliah.
Cadangan-cadangan awalan bagi mengelakkan tanah runtuh seperti penanaman tumbuh-tumbuhan litup bumi, pembinaan tembok penahan atau pengaplikasian sistem pengaliran air yang efektif bukan sekadar menghiasi kertas kerja cadangan projek tetapi seharusnya benar-benar dilaksanakan.
Sistem teknologi moden seperti pengesanan pergerakan tanah melalui sistem gelombang atau radar harus dipantau secara berkala, bagi mengesan pergerakan tanah yang aktif terutama sekali menjelang musim hujan.
Gabungan tenaga kerja antara pihak pemaju, Jabatan Alam Sekitar (JAS), JKR, IKRAM dan profesion-profesion ini penting bagi menjamin bangunan yang dibina adalah selamat diduduki dan kejadian tanah runtuh ini tidak akan berlaku lagi.
Walaupun Malaysia tidak termasuk dalam lingkaran gunung berapi atau gempa bumi, impak di atas kejadian tanah runtuh turut meragut banyak nyawa dan menjejaskan aset pembangunan negara.
Negara-negara yang sinonim dengan bencana-bencana alam seperti gempa bumi, sentiasa menyediakan pelan pembinaan yang amat menitik-beratkan kajian EIA. Antara yang sesuai dijadikan rujukan ialah Jepun yang terkenal dengan dasar-dasar kelulusan yang ketat semasa Proses Sebelum Bina. Kerajaan seharusnya peka dalam menangani permasalahan ini dengan melihat pelaksanaan-pelaksanaan dasar dari pelbagai negara maju.
Yang pasti, pendekatan dan pelaksanaan dasar yang sistematik perlu diaplikasikan dalam menangani permasalahan ini. Tindakan PBT haruslah tegas agar tidak dilabelkan 'seperti melepaskan batuk di tepi tangga', kerana kita semestinya tidak mahu tragedi ini berulang kembali.
Utusan online 10/12/2008
KUALA LUMPUR 9 Dis. – Kerajaan kini melarang sepenuhnya sebarang bentuk pembangunan dan projek perumahan di kawasan lereng dan puncak bukit yang berisiko tinggi di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, selepas tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, kerajaan tidak akan memberi sebarang kelulusan kepada mana-mana pemaju perumahan yang ingin membina projek di kawasan tanah tinggi.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada Sabtu lepas tidak berulang.
“Saya berharap semua kerajaan negeri dapat mengikut langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Persekutuan dan menghentikan sebarang pembinaan atau pelaksanaan projek di kawasan-kawasan tanah tinggi yang berisiko tinggi.
“Kerajaan negeri juga sepatutnya sedar kemungkinan yang berlaku jika projek-projek di kawasan berisiko diluluskan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Abdullah diminta mengulas langkah yang diambil oleh kerajaan bagi mengelak berulangnya kejadian tanah runtuh seperti yang berlaku di Bukit Antarabangsa.
Tragedi tersebut mengakibatkan empat terbunuh manakala 14 lagi cedera setelah 14 banglo di kawasan seluas empat hektar di Taman Bukit Mewah di Bukit Antarabangsa ranap selepas berlaku kejadian tanah runtuh.
Kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu berlaku ketika penghuni sedang tidur. Lereng bukit yang terletak kira-kira 20 meter dari kawasan perumahan banglo Taman Bukit Mewah tiba-tiba runtuh selepas beberapa hari hujan lebat.
Tragedi itu berlaku kira-kira 1.5 kilometer dari tapak kondominium Highland Towers yang runtuh akibat pergerakan tanah pada 11 Disember 1993.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan negeri juga harus memberikan perhatian serius ke atas perumahan yang telah siap dibina di lereng atau puncak bukit.
Tanpa sebarang pemantauan, kata Abdullah, ia dikhuatiri akan menyumbang kepada bencana seperti yang melanda Bukit Antarabangsa.
Sambil melahirkan rasa dukacita dengan tragedi tersebut, beliau menegaskan, langkah drastik yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan adalah tindakan yang tepat.
“Kerajaan tidak mahu kejadian tanah runtuh berulang dan apa yang terjadi memang amat dikesali,” katanya.
Bagi meringankan beban mangsa tragedi tanah runtuh itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju untuk menghulurkan bantuan yang akan diumumkan dalam masa terdekat ini.
Mengenai tindakan penduduk yang mahu menyaman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berikutan kejadian itu, Abdullah berkata, tragedi yang berlaku bukan disengajakan.
Bagi tanah tinggi yang telah diwartakan sebagai hutan kekal dan kawasan tadahan air, kata beliau, kerajaan tidak akan membenarkan sebarang bentuk pembangunan di kawasan tersebut.
“Kawasan yang telah diwartakan sebagai hutan kekal dan kawasan tadahan air tidak akan ada sebarang pembangunan,” katanya.
Sementara itu, Abdullah berkata, mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.
Utusan online 6/12/2008
![]() |
| Muzium Diraja, Istana Lama Seri Menanti di Kuala Pilah menyimpan pelbagai warisan sejarah keluarga Diraja Negeri Sembilan. - Gambar MD. SHAHJEHAN MAAMIN |
KUALA PILAH 5 Dis. - Tiada siapa dapat menafikan keunikan dan keindahan Istana Lama Seri Menanti di sini yang bergelar ikon keluarga Diraja Negeri Sembilan.
Di sebalik keutuhan berdirinya istana yang sudah berusia 100 tahun itu, Seri Menanti menyimpan pelbagai warisan sejarah yang tidak ternilai.
Menjejakkan kaki ke kawasan tersebut seakan terasa nostalgia zaman dulu kala - menatap reka bentuk istana yang bergaya tradisional dan keheningan kawasan sekitar yang masih terpelihara keindahannya.
Itu belum lagi mendalami atau memperhalusi sejarah warisan istana tersebut termasuk seni binanya yang bukan saja masih kukuh tetapi 'berseri'.
Istana Lama Seri Menanti juga penuh keunikan apatah lagi ia diperbuat daripada kayu keseluruhannya dan tidak menggunakan paku besi sebaliknya binaannya 'dipaku' dengan kayu yang dipanggil pasak.
Pembinaannya bermula pada 1902 dan siap pada tahun 1908 bagi menggantikan Istana Pulih yang dibakar askar Inggeris semasa mengejar Yamtuan Antah ketika berlakunya perang Bukit Putus.
Istana itu setinggi empat tingkat dan pelan asalnya direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib.
Pelan istana ini telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan, Woodford dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Seremban dan telah diluluskan pada November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British.
Istana ini digunakan untuk upacara menghadap yang diadakan tiga tahun sekali. Pada tahun 1926, Pesuruhjaya Tinggi, Sir Lawrence Gullmard turut hadir dalam upacara itu.
Istiadat perasmian istana ini dilakukan oleh Yang Dipertuan Muhammad Ibni Almarhum Yamtuan Antah. Baginda bersemayam di istana ini sehingga 1931, sebelum baginda berpindah ke istana baru yang dibina berhampiran dengan istana lama.
Istana ini juga pernah digunakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk dijadikan Sekolah Menengah Agama Tinggi pada 1959 hingga 1964.
Kemudian istana ini dibiarkan kosong tanpa penghuni sehingga 1992 dan Yamtuan Besar Tuaku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman kemudian memerintahkan istana ini diwartakan sebagai 'Muzium Diraja'.
Perasmiannya dilakukan pada 14 Julai 1992 dan mulai saat itu dinamakan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti yang mempamerkan koleksi keluarga Diraja Negeri Sembilan.
Dalam usaha mengekalkan keunikannya, setiap ruang istana ini dikekalkan tanpa mengubah bentuk asal bagi menerangkan fungsi ruang-ruang tersebut.
Bersempena dengan usianya yang sudah mencecah 100 tahun di samping warisan sejarahnya yang masih terjaga, usaha menjadikan istana itu sebagai tapak warisan dunia kini dipergiatkan oleh Kerajaan Negeri.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail, beliau telah meminta Muzium Negeri selaku pihak pengurusan istana untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi tujuan tersebut.
"Proses bagi mendapatkan status itu daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sedang dilaksanakan di semua peringkat," katanya.
Katanya, permohonan tersebut adalah sebagai langkah membantu Negeri Sembilan melindungi Istana Lama Seri Menanti itu yang berusia 100 tahun pada tahun ini.
"Selain itu, kita berharap dapat menarik ramai pelancong melawat Istana Lama Seri Menanti dan Negeri Sembilan," katanya.
Sebelum ini, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dengan usaha sama Kementerian Pelancongan telah menghantar permohonan kepada UNESCO untuk mengiktiraf Pulau Pinang dan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia dan pada Julai lepas, UNESCO telah memberikan pengiktirafan tersebut.
Siapa tahu selepas bandar Melaka dan Georgetown di Pulau Pinang, kita boleh berbangga dengan satu lagi warisan sejarah bangsa apabila ia diiktiraf oleh UNESCO.
Bangunan Sultan Iskandar pintu masuk moden ke Malaysia
0 comments Posted by UKUR BANGUNAN (BUILDING SURVEY) at 22:24Utusan online 01/12/2008
JOHOR BAHRU 1 Dis. — Bangunan Sultan Iskandar, yang sebelum dikenali sebagai Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), yang dirasmikan hari ini, merupakan pintu masuk moden ke Malaysia khususnya ke Wilayah Pembangunan Iskandar di sini, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Seramai sembilan juta pengunjung dianggarkan menggunakan kemudahan di situ setiap tahun, kata Perdana Menteri dalam ucapan pada majlis perasmian bangunan oleh Sultan Johor Sultan Iskandar.
Menurutnya, pembukaan Bangunan Sultan Iskandar merupakan titik bersejarah kepada rakyat dan bangunan yang dibina di tanah seluas 113 hektar itu akan menjadi mercu tanda terkemuka.
“Bangunan ini bukan sekadar satu usaha pembangunan tetapi juga adalah satu simbol penting yang melambangkan kemajuan serta potensi wilayah ini.
“Ia merupakan pintu masuk yang moden, cekap dan indah, yang akan memberikan satu gambaran kepada setiap pengunjung dan pelabur dari luar akan kemodenan, kecekapan dan keindahan Wilayah Pembangunan Iskandar, Johor dan pastinya, Malaysia,” katanya.
Bangunan Sultan Iskandar akan beroperasi 24 jam sehari dan bakal dihuni oleh 21 agensi terdiri daripada jabatan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun dan agensi swasta.
Jabatan Imigresen akan bertanggungjawab menyelaras operasi serta pengurusan Bangunan Sultan Iskandar.
“Polis Diraja Malaysia harus memastikan bahawa kawalan keselamatan yang rapi sentiasa diberikan di bangunan ini demi keselamatan dan kesejahteraan pengguna dan negara kita secara amnya,” katanya.
Abdullah juga berkata setiap kakitangan yang berkhidmat di Bangunan Sultan Iskandar merupakan ’duta Malaysia’ kepada dunia luar.
“Kita harus buktikan, malah serlahkan status Malaysia sebagai antara negara yang bukan sahaja maju tetapi juga mempunyai rakyat yang ramah dan berbudi bahas serta tinggi adab nilainya,” kata Abdullah.
Dalam titahnya pula, Sultan Johor berharap Bangunan Sultan Iskandar akan memberikan keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat seterusnya kemajuan kepada negeri.
“Hari ini adalah menjadi satu sejarah kepada negeri Johor kerana mendapat satu bangunan baru. Saya ucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini,” titah baginda.
Turut berangkat ke majlis itu Sultanah Johor Sultanah Zanariah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dan isteri Raja Zarith Sofiah.
— BERNAMA

