Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Pemilik diancam tanah runtuh

Utusan online 22/10/2008


KEADAAN di belakang rumah penduduk di Jalan Pinggir Bukit Segar 1, Cheras yang mengalami dua runtuhan pada minggu lalu.
- Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN


KUALA LUMPUR 21 Okt. - Hujan lebat yang turun setiap hari di ibu negara sejak lebih seminggu lalu bukan sahaja menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan tetapi juga telah mengakibatkan kejadian tanah runtuh.

Salah satu kawasan yang terlibat ialah Pinggir Bukit Segar di Cheras yang mengalami kejadian tersebut pada Rabu lalu.

Selepas runtuhan pertama itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak menutup kawasan yang runtuh dengan kanvas tetapi langkah itu ternyata tidak dapat menahan kuasa alam semula jadi.

Akibatnya, satu lagi runtuhan berlaku berlaku di kawasan yang sama pada Sabtu lalu menyebabkan tanah dari runtuhan itu membukit di belakang rumah nombor 10 dan 11, Jalan Pinggir Bukit Segar 1.

Semasa kejadian, penghuni rumah tersebut berada di luar negara atas satu urusan perniagaan dan terkejut melihat runtuhan itu apabila kembali pada Ahad lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab. Hakim Borhan semasa meninjau ke kawasan runtuhan itu berkata, DBKL akan memasang kepingan besi sedalam 12 meter bagi menggantikan tembok gabion (tembok yang diperbuat daripada bakul besi yang diisi dengan batu) yang kini menahan bukit di situ.

Katanya, langkah itu adalah usaha jangka pendek bagi mengelak masalah tanah runtuh di situ berulang.

Beliau berkata, kerja-kerja pemasangan kepingan besi di kawasan berkenaan telah dimulakan petang semalam sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.

Katanya, tembok gabion yang menjadi tembok penahan di bukit berhampiran Pinggir Bukit Segar pada masa ini tidak kukuh dan tidak dapat dipastikan sampai bila ia mampu bertahan.

"Kontraktor yang dilantik akan memulakan kerja-kerja pemasangan kepingan besi tersebut dengan segera, di samping akan membersihkan kawasan rumah yang terlibat dengan kejadian itu.

"Ini merupakan sebahagian daripada penyelesaian untuk jangka pendek, kerja-kerja ini dijangka akan siap dalam tempoh seminggu dan dinasihatkan para penduduk yang terlibat supaya berpindah ke tempat lain untuk sementara waktu untuk tujuan keselamatan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau ditemui sewaktu meninjau kawasan runtuhan tersebut bersama-sama Pengarah Jabatan Kerja Awam, Siti Saffur Mansor dan wakil Jabatan Seni Taman dan Kawalan Pembersihan Bandar, Musairi Musa.

Ab. Hakim memberitahu, kejadian tanah runtuh di kawasan itu berlaku pada Jumaat lalu dan DBKL telah menutup kawasan tanah runtuh berkenaan dengan kanvas sebagai langkah awal untuk mengawal keadaan.

Bagaimanapun, katanya lagi, pada keesokan harinya, hujan lebat menyebabkan tanah di kawasan tersebut runtuh dengan lebih teruk sehingga kanvas yang menutup kawasan itu terkoyak.

"Kejadian itu membuatkan rumah nombor 10 mengalami kerosakan teruk di bahagian belakang," katanya.

Beliau berkata, DBKL juga akan membina satu tembok baru sebagai langkah untuk mengelakkan kejadian berkenaan daripada berulang kembali pada masa akan datang.

Jelasnya lagi, pihaknya juga akan memperbaiki sistem saliran dan perparitan di sekitar kawasan yang terlibat bagi memastikan air hujan dapat mengalir dengan sempurna.

"Untuk tujuan berkenaan, kita tidak pasti bilakah ia dapat disiapkan kerana ia melibatkan kos yang tinggi dan kami akan membuat kajian terperinci mengenainya sebelum dapat melaksanakannya," katanya.

Mengenai keselamatan penduduk di situ, beliau berkata, keadaan persekitaran masih lagi terkawal dan selamat untuk diduduki.

"Sekumpulan anggota polis dari Balai Polis Daerah Cheras juga telah ditempatkan di situ bagi memantau dan menjaga keselamatan penduduk di situ," katanya.

0 Comments:

Post a Comment