Pelaksanaan IBS kurangkan pengambilan pekerja asing
Posted by UKUR BANGUNAN (BUILDING SURVEY) at 17:14Harian metro online 25/10/2008
KUALA LUMPUR: Hanya kira-kira 50,000 daripada 315,000 pekerja asing yang akan diambil bekerja di sektor pembinaan di seluruh negara apabila kerajaan memperkenalkan Industrial Building System (IBS) dalam sektor berkenaan bermula tahun depan.
Langkah memperkenalkan IBS itu bertujuan mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing, aliran wang ke luar negara oleh pekerja asing melalui institusi kewangan yang menyediakan perkhidmatan pengiriman wang, meningkatkan kualiti, produktiviti dalam industri pembinaan.
Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata dengan adanya IBS jumlah pekerja asing yang pada masa ini menguasai 75 peratus tenaga kerja di sektor pembinaan akan dapat dikurangkan kepada 15 peratus bermula tahun depan.
Menurutnya, sehubungan itu kerajaan akan melaksanakan kaedah IBS lebih serius bagi memastikan sektor pembinaan di negara ini tidak bergantung kepada pekerja asing tetapi juga mengatasi masalah pengaliran wang keluar dari negara ini.“Dengan menggunakan tenaga kerja minimum kaedah ini dapat menjimatkan kos kontraktor dengan rumah yang dibina melalui kaedah ini boleh dijual pada harga lebih murah,” katanya.
Mohd Zin berkata, kerajaan juga sudah mengarahkan setiap agensi kerajaan yang melaksanakan projek pembangunan dan perumahan rakyat perlu menggunakan sekurang-kurangnya 70 peratus kandungan IBS dalam projek berkenaan.
0 Comments:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)