Warga Putrajaya cemas beberapa bangunan kerajaan bergegar
0 comments Posted by UKUR BANGUNAN (BUILDING SURVEY) at 21:46PUTRAJAYA 13 Sept — Warga Putrajaya khususnya kakitangan kerajaan yang baru hendak memulakan tugas pagi ini cemas apabila digegarkan kesan daripada gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter yang berlaku di wilayah Jambi, selatan Sumatera pagi ini.
Akibat kesan gempa bumi berlaku pada pukul 6.49 pagi waktu Sumatera, 12 jam selepas gempa kuat berukuran 8.2 skala Richter di Bengkulu petang semalam, kakitangan awam yang berada di dalam bangunan di Kompleks E, Kompleks D dan Kompleks C bertindak keluar menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Supritendan Abdul Razak Abdul Majid berkata, selain kawasan bangunan kerajaan, gegaran itu turut dirasai oleh penduduk yang tinggal di apartmen di sekitar Presint 8 dan 14.
“Setakat ini keadaan terkawal dan dalam kejadian selama beberapa saat itu, tidak ada sebarang laporan keretakan bangunan atau kemalangan dilaporkan,” katanya kepada Bernama di sini.
Seorang kakitangan Kementerian Kesihatan di Kompleks E yang enggan namanya disiarkan berkata mereka merasai gegaran tersebut kira-kira pukul 7.55 pagi.
“Pada masa itu, ada yang sedang baca surat khabar, nak hidupkan komputer dan orang yang baca surat khabar itu perasan dia rasa pening semasa membaca, dia rasa goyang,” katanya.
Berikutan kejadian itu, mereka mengambil inisiatif sendiri untuk turun walaupun ketika itu tidak ada pengumuman untuk mereka berbuat demikian.
Selepas kira-kira 10 hingga 15 minit tiada sebarang arahan dikeluarkan, mereka naik semula ke pejabat masing-masing tetapi selang beberapa minit kemudian, pengumuman dibuat oleh polis mengarahkan semua kakitangan di Kompleks E mengosongkan bangunan.
Kompleks E turut menempatkan Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.
Kakitangan kerajaan kemudiannya dibenarkan memulakan tugas kira-kira pukul 10.10 pagi selepas pemeriksaan dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memeriksa sebarang keretakan di bangunan berkenaan.-Bernama
Labels: Info