ARKIB Utusan online 07/11/2008
MELAKA 6 Nov. - Bangunan-bangunan lama yang terdapat di negeri ini akan dikekalkan kerana ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi selain merupakan salah satu tumpuan pelancong asing yang datang ke negeri ini setiap tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Datuk Seet Har Cheow berkata, pihaknya tidak memberi kebenaran mana-mana pihak yang membuat permohonan untuk merobohkan bangunan lama bagi digantikan dengan bangunan baru.
Menurutnya, ia bertujuan untuk melindungi binaan lama yang mengandungi warisan sejarah yang terdapat di dalamnya.
''Kerajaan negeri merasakan adalah perlu kita melindungi bangunan-bangunan lama seperti Menara lama Surau Tengkera kerana di Melaka sendiri, keistimewaan negeri ini adalah keunikan dan misteri bangunan lama yang ada di seluruh negeri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta memberi reaksi mengenai binaan lama menara lama surau Tengkera yang dibina sekitar 1728 yang kini dibiarkan usang dan kawasan persekitaran dipenuhi semak-samun sehingga mencacatkan pemandangan khususnya kepada pelancong asing.
Menurut Har Cheow, di Bandar Hilir sahaja, sekitar Jonker Walk dan Tengkera sendiri mengandungi banyak binaan lama yang kebanyakannya digunakan bagi kediaman pedagang Cina dan India sewaktu berdagang di negeri satu ketika dulu.
Ujarnya, agensi kerajaan berkaitan terutama Jabatan Warisan Negara perlu memastikan binaan lama yang terdapat pada masa ini dipelihara kesan warisannya, sekali gus mengelakkan ia terbiar.
''Bagi pihak kerajaan negeri sendiri, kita amat serius dan tegas dalam perkara ini terutama tidak membenarkan sama sekali mana-mana pihak termasuk pemiliknya untuk meruntuhkan bangunan yang didapati mempunyai nilai-nilai sejarah,'' katanya.
Jelasnya, selain bangunan-bangunan tersebut terus dipelihara akan memastikan ia dapat terus digunakan bagi pelbagai tujuan yang difikirkan sesuai untuk keperluan masyarakat.
''Kita berbangga dengan kejayaan yang dicapai sekarang, tetapi jangan lupa kepada sejarah masa lampau Melaka," katanya.