Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Biasiswa fasih bahasa Mandarin

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Pelajar Melayu dan India yang fasih berbahasa Mandarin berpeluang melanjutkan pelajaran ke China apabila kerajaan negeri bersetuju mengeluarkan geran biasiswa kepada lima hingga 10 orang yang dianggarkan berjumlah RM100,000 setiap seorang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata keutamaan diberikan kepada anak Selangor yang mendapat pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan mereka yang terpilih berpeluang mengambil ijazah lanjutan dalam bidang perniagaan yang diiktiraf kerajaan sama ada di Beijing atau Shanghai.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi menggalakkan kemahiran berbahasa selain meneroka ilmu kemahiran dalam bidang perniagaan di China.

“Negara itu kini mencatat pertumbuhan ekonomi antara tertinggi di dunia dan keputusan dalam majlis mesyuarat hari ini (semalam) sebulat suara bersetuju menghantar pelajar ke sana.




“Dengan ilmu yang diperoleh itu akan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan ekonomi dan sosial Selangor, “ katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini semalam.


Abdul Khalid berkata, keputusan kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat juga mampu menggalakkan kemahiran berbahasa selain menarik lebih ramai pelajar untuk belajar bahasa ibunda mereka.

Katanya, pelajar yang berminat diminta berhubung dengan kerajaan negeri atau menghantar permohonan untuk tindakan lanjut.

Ditanya sebab universiti di China dipilih dan tidak universiti tempatan, Abdul Khalid berkata, China adalah satu negara yang baru bangkit dalam bidang ekonomi dan sekiranya pelajar negara ini belajar di sana ia dapat memahami selok belok perniagaan selain jaringan perniagaan.

“Mereka juga dapat berinteraksi dan belajar bahasa Mandarin dengan rakan sekelas dan ini penting untuk perniagaan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai hasil perbincangan mengenai pembinaan cawangan Universiti Madinah di Cyberjaya, Abdul Khalid berkata, kerajaan Selangor menyokong usaha yang dilakukan universiti berkenaan.

“Kawasan itu kini sedang diteliti dan kita akan memberi sokongan penuh kepada pembinaan universiti terbabit,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment