Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Pembangunan tak seimbang

Utusan online 1/12/08


Waktu puncak, kawasan ini akan menyaksikan 'pesta lampu merah'.
- Gambar IZHAM JAAFAR


PUCHONG 30 Nov. - Pertambahan pembangunan di sesebuah kawasan dilihat amat penting dalam mengejar arus kemodenan serta kemajuan.

Namun, pembangunan tersebut perlulah diselaraskan dengan infrastruktur yang lengkap serta memberi kemudahan kepada setiap lapisan masyarakat.

Bagaimanapun, kita dapat melihat masih banyak lagi kawasan tumpuan pengguna seperti pusat beli-belah serta lot-lot kedai yang tidak menyediakan infrastruktur sempurna bagi memberi keselesaan kepada pelanggan mereka.

Contohnya di sekitar jalan ke pusat beli-belah IOI Mall Puchong di tepi Lebuhraya Damansara-Puchong di mana susur dan keluar masuk di kawasan berkenaan sering sesak teruk.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi tersebut mendapati keadaan jalan berhampiran lokasi itu sesak teruk terutamanya pada waktu puncak iaitu pada pukul 8 pagi dan 4.30 petang.

Difahamkan, kesesakan teruk tersebut mula berlaku sejak beberapa tahun lalu dipercayai berpunca daripada pelbagai projek pembinaan yang baru dijalankan di kawasan berhampiran.

Terdapat tiga projek baru yang sedang dalam pembinaan di kawasan berdekatan seperti lot kedai, pejabat serta penambahan bangunan baru.

Seperti sedia maklum, di kawasan tersebut telah pun mempunyai sebuah pusat beli-belah, deretan lot kedai, pejabat dan kawasan perumahan.

Oleh itu, sudah pastinya kawasan tersebut sesak teruk sekiranya lebih banyak lagi projek baru yang bakal dibina mahupun yang sedang aktif pembinaannya.

Dalam pemerhatian penulis, IOI Mall sedang berusaha mengubah suai dan memperbesarkan pusat beli-belahnya manakala berdekatan dengannya pula terdapat satu lagi projek lot-lot kedai.

Berhadapan dengan IOI Mall pula, bangunan empat tingkat sedang dibina yang tidak diketahui siapa pemajunya.

Justeru, bayangkan apabila projek-projek berkenaan siap kelak. Ia pastinya akan meningkatkan lagi tahap kesesakan yang sudah sedia teruk dan kesannya terpaksa dihadapi oleh masyarakat sekitar, secara tidak langsung mahupun langsung.

Sebagai contoh, sekiranya pengguna dari Kuala Lumpur yang ingin menuju ke Puchong atau ke Petaling Jaya pastinya terpaksa bersesak di jalan tersebut hanya kerana terpaksa mengekori pengguna yang ingin ke pusat beli-belah tersebut sejauh 300 meter untuk membuat pusingan U.

Walaupun jaraknya tidak jauh namun kesesakan yang terpaksa ditempuh mengambil masa selama setengah jam untuk melepasi kesesakan yang berlaku di pusingan U berkenaan.

Itu belum lagi kesesakan yang terpaksa ditanggung untuk masuk ke pintu utama pusat beli-belah tersebut yang kadang-kadang dipenuhi teksi serta bas yang sering menunggu penumpangnya di situ.

Keadaan pondok bas yang dibina di hadapan pintu masuk pusat beli-belah tersebut turut membuatkan jalan berkenaan sesak dan merimaskan.

Lebih memburukkan keadaan, apabila cuaca hujan, kebanyakan kawasan jalan tersebut digenangi air sehingga menyebabkan kenderaan terpaksa bergerak perlahan dan menyebabkan kesesakan.

Seorang pemandu teksi yang ditemui, M. Batmanathan, 53, mengakui bahawa jalan berkenaan akan sesak setiap kali waktu puncak.

Menurutnya, kesesakan tersebut semakin teruk semenjak penambahan pembinaan projek-projek baru di sekeliling kawasan itu.

Tambahnya, kerajaan mahupun pemaju perlu membina jalan alternatif lain bagi pengguna yang ingin menuju ke pusat beli-belah serta lot-lot kedai baru itu bagi mengurangkan kesesakan.

"Saya rasa ada baiknya sebuah terowong bawah tanah ataupun persimpangan bertingkat dibina sebagai jalan alternatif untuk ke kawasan berkenaan," katanya.

Tambahnya, selain daripada keadaan jalan yang sering sesak akibat kenderaan yang berpusu-pusu menggunakan laluan berkenaan terutamanya pada waktu puncak, dia memberitahu tindakan meletakkan kon-kon di tengah jalan yang dipercayai dilakukan oleh pemaju menjadi faktor jalan berkenaan sesak.

"Saya tidak tahu mengapa mereka berbuat demikian namun pastinya setiap petang ada orang meletakkan kon-kon di sepanjang jalan berkenaan sehinggakan jalan yang sepatutnya menjadi tiga lorong hanya boleh digunakan dua lorong sahaja.

"Saya berharap polis trafik ataupun Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memantau perkara ini kerana ia menyebabkan jalan berkenaan sesak teruk setiap petang," jelasnya.

Seorang lagi pengguna, Zulkefli Hashim, 34, berkata, keadaan sesak berkenaan dilihat semakin teruk berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jelasnya, dia yang telah bekerja di kawasan berkenaan sejak lapan tahun lalu, mengakui keadaan jalan tersebut semakin teruk apabila banyak projek baru dibuat namun tiada jalan keluar dan masuk yang lain dibuka.

"Jika kita lihat, jalan keluar dan masuk untuk ke pusat beli-belah dan kawasan lot-lot kedai tersebut hanya mempunyai satu jalan sahaja dan bayangkan sekiranya pada waktu puncak pastinya jalan tersebut sesak teruk.

"Seharusnya pemaju mengambil contoh membina persimpangan bertingkat seperti yang dibina di Sunway Pyramid kerana pembinaan tersebut berjaya mengatasi kesesakan pengguna yang melalui jalan berkenaan.

"Sekiranya pemaju tersebut dapat bekerjasama membina jalan persimpangan bertingkat berkenaan pastinya kesesakan itu dapat dikurangkan," ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Perhubungan Awam Jabatan Perancangan Korporat MPSJ, Asfarizal Abdul Rashid berkata, pihaknya tidak boleh memberi sebarang komen tentang perkara tersebut memandangkan sebarang maklumat tentang sebarang pembinaan jalan raya perlu dirujuk kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

"Majlis tidak mempunyai kuasa dalam melaksanakan mahupun menyuruh pemaju membina persimpangan bertingkat tersebut kerana ia di luar bidang tugas Majlis," katanya.

"Oleh itu, sebarang maklumat tentang permohonan pemaju untuk membina persimpangan tersebut perlu dirujuk kepada LLM bagi mendapatkan maklumat lanjut," jelasnya.

0 Comments:

Post a Comment