Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Larangan penuh

Utusan online 10/12/2008

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Kerajaan kini melarang sepenuhnya sebarang bentuk pembangunan dan projek perumahan di kawasan lereng dan puncak bukit yang berisiko tinggi di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, selepas tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, kerajaan tidak akan memberi sebarang kelulusan kepada mana-mana pemaju perumahan yang ingin membina projek di kawasan tanah tinggi.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada Sabtu lepas tidak berulang.

“Saya berharap semua kerajaan negeri dapat mengikut langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Persekutuan dan menghentikan sebarang pembinaan atau pelaksanaan projek di kawasan-kawasan tanah tinggi yang berisiko tinggi.

“Kerajaan negeri juga sepatutnya sedar kemungkinan yang berlaku jika projek-projek di kawasan berisiko diluluskan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Abdullah diminta mengulas langkah yang diambil oleh kerajaan bagi mengelak berulangnya kejadian tanah runtuh seperti yang berlaku di Bukit Antarabangsa.

Tragedi tersebut mengakibatkan empat terbunuh manakala 14 lagi cedera setelah 14 banglo di kawasan seluas empat hektar di Taman Bukit Mewah di Bukit Antarabangsa ranap selepas berlaku kejadian tanah runtuh.

Kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu berlaku ketika penghuni sedang tidur. Lereng bukit yang terletak kira-kira 20 meter dari kawasan perumahan banglo Taman Bukit Mewah tiba-tiba runtuh selepas beberapa hari hujan lebat.

Tragedi itu berlaku kira-kira 1.5 kilometer dari tapak kondominium Highland Towers yang runtuh akibat pergerakan tanah pada 11 Disember 1993.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan negeri juga harus memberikan perhatian serius ke atas perumahan yang telah siap dibina di lereng atau puncak bukit.

Tanpa sebarang pemantauan, kata Abdullah, ia dikhuatiri akan menyumbang kepada bencana seperti yang melanda Bukit Antarabangsa.

Sambil melahirkan rasa dukacita dengan tragedi tersebut, beliau menegaskan, langkah drastik yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan adalah tindakan yang tepat.

“Kerajaan tidak mahu kejadian tanah runtuh berulang dan apa yang terjadi memang amat dikesali,” katanya.

Bagi meringankan beban mangsa tragedi tanah runtuh itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju untuk menghulurkan bantuan yang akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

Mengenai tindakan penduduk yang mahu menyaman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berikutan kejadian itu, Abdullah berkata, tragedi yang berlaku bukan disengajakan.

Bagi tanah tinggi yang telah diwartakan sebagai hutan kekal dan kawasan tadahan air, kata beliau, kerajaan tidak akan membenarkan sebarang bentuk pembangunan di kawasan tersebut.

“Kawasan yang telah diwartakan sebagai hutan kekal dan kawasan tadahan air tidak akan ada sebarang pembangunan,” katanya.

Sementara itu, Abdullah berkata, mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.

0 Comments:

Post a Comment