Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Kesan penilaian alam sekitar patut dipatuhi

Utusan online 10/12/2008

PADA 1993, Malaysia digemparkan dengan tragedi menyayat hati di mana berlakunya insiden yang mengorbankan 48 nyawa di runtuhan bangunan kondominium di Highland Towers. Puncanya adalah pergerakan tanah di lereng bukit yang menyebabkan berlakunya tanah runtuh dan menumbangkan bangunan kondominium di kawasan tersebut. Hari ini, kejadian yang sama berulang kembali. Ironinya di sini, lokasi kejadian hanyalah 1.5 km dari lokasi runtuhnya kondominium Highland Towers dahulu. Persoalannya di sini, mengapakah episod yang menyayatkan hati itu berulang kembali?

Seperti sedia maklum, iklim Khatulistiwa yang dialami oleh negara tropika seperti Malaysia, merupakan iklim yang mempunyai taburan hujan tahunan yang tinggi terutama sekali pada musim-musim tengkujuh iaitu di sekitar bulan November dan Disember. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan berlakunya tahap kelembapan relatif yang tinggi, justeru turut mempengaruhi tahap kelembapan tanah, kekuatan struktur tanah, keseimbangan kandungan bendalir di dalam tanah dan pelbagai lagi perkara yang berkaitan.

Namun begitu, kita bertuah kerana Malaysia dikelilingi Hutan Hujan Khatulistiwa yang padat memenuhi Banjaran Titiwangsa dengan daunnya yang lebar serta berakar tunjang, sekali gus mampu menampung dan menerima taburan hujan yang lebat dan bertindak sebagai pemangkin kepada tanah.

Namun begitu, apabila pembangunan semakin dituntut, kebanyakan pemangkin tanah ini terpaksa ditebang untuk memenuhi tuntutan arus permodenan. Bermula dari faktor inilah, maka bencana-bencana alam seperti banjir kilat dan tanah runtuh semakin kerap terjadi.

Dalam merungkaikan permasalahan ini, pelbagai persoalan telah timbul. Haruskah pembangunan dihentikan? Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan dalam situasi ini?

Melihat kepada sejarah pembangunan di Malaysia, didapati 35 - 40 peratus pembangunan diadakan di kawasan-kawasan tanah tinggi dan lereng-lereng bukit yang memerlukan bukit-bukit ditarah, dibersihkan ataupun diratakan untuk memberi laluan kepada proses pembangunan. Ada di antaranya bersifat komersial seperti pembinaan resort-resort percutian, ada yang bertujuan untuk memenuhi kehendak prasarana awam dan ada juga projek-projek hakmilik persendirian.

Kelulusan

Namun begitu, semuanya perlu melalui proses kelulusan dan pematuhan dasar yang sama mengikut keperluan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Menurut Garis Panduan Pembangunan Tanah Tinggi 2002 dan 2005, aktiviti-aktiviti pembangunan bagi kawasan kediaman adalah dilarang sama sekali didirikan pada kawasan yang merangkumi 300 meter ke atas ataupun berkecerunan 35 darjah.

Ini sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menangani masalah-masalah ini dari berlaku. Namun begitu, masih terdapat segelintir pihak pemaju yang begitu tegar dan sanggup melanggar garis panduan ini demi mencapai keuntungan wang ringgit.

Dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan, PBT seharusnya bersifat lebih tegas dalam memastikan pihak-pihak pemaju mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Antara pra syarat pembangunan yang seharusnya diperketatkan adalah pelaksanaan Kajian Kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA) dan Kajian Feasibiliti sebelum mana-mana projek boleh diteruskan.

Pematuhan perkara ini amat penting, kerana melalui kajian ini sahajalah penilaian bagi kesan pembangunan jangka panjang terhadap alam sekitar boleh diperhalusi dan pelbagai langkah pencegahan boleh diutarakan melalui kajian yang dinamik.

Ini selaras dengan kehendak kerajaan yang ingin memelihara alam sekitar seterusnya mencapai kestabilan rantaian flora dan fauna.

PBT juga seharusnya memastikan laporan hasil penilaian alam sekitar ini dipantau sepenuhnya oleh pihak-pihak profesional yang terdiri daripada jurutera, juruukur bangunan, arkitek dan profesion lain yang berkaitan bagi memastikan laporan yang dihasilkan adalah meliputi pelbagai tuntutan Proses Sebelum Bina.

Pihak pemaju seharusnya ditapis melalui saluran yang betul, dinilai dan dikaji melalui keputusan laporan EIA yang dihasilkan dengan melalui prosedur-prosedur yang ketat.

Proses pembangunan tanah di lereng-lereng bukit seharusnya melalui fasa penyiasatan tanah dan impak struktur yang dikoordinasikan oleh jurutera bertauliah. Bagi fasa cadangan penyelenggaraan fasiliti secara berkala dan kemudahan prasarana pembangunan, ia seharusnya diselia oleh juruukur bangunan bertauliah, manakala fasa kehendak dan keperluan reka bentuk dipantau sepenuhnya oleh arkitek bertauliah.

Cadangan-cadangan awalan bagi mengelakkan tanah runtuh seperti penanaman tumbuh-tumbuhan litup bumi, pembinaan tembok penahan atau pengaplikasian sistem pengaliran air yang efektif bukan sekadar menghiasi kertas kerja cadangan projek tetapi seharusnya benar-benar dilaksanakan.

Sistem teknologi moden seperti pengesanan pergerakan tanah melalui sistem gelombang atau radar harus dipantau secara berkala, bagi mengesan pergerakan tanah yang aktif terutama sekali menjelang musim hujan.

Gabungan tenaga kerja antara pihak pemaju, Jabatan Alam Sekitar (JAS), JKR, IKRAM dan profesion-profesion ini penting bagi menjamin bangunan yang dibina adalah selamat diduduki dan kejadian tanah runtuh ini tidak akan berlaku lagi.

Walaupun Malaysia tidak termasuk dalam lingkaran gunung berapi atau gempa bumi, impak di atas kejadian tanah runtuh turut meragut banyak nyawa dan menjejaskan aset pembangunan negara.

Negara-negara yang sinonim dengan bencana-bencana alam seperti gempa bumi, sentiasa menyediakan pelan pembinaan yang amat menitik-beratkan kajian EIA. Antara yang sesuai dijadikan rujukan ialah Jepun yang terkenal dengan dasar-dasar kelulusan yang ketat semasa Proses Sebelum Bina. Kerajaan seharusnya peka dalam menangani permasalahan ini dengan melihat pelaksanaan-pelaksanaan dasar dari pelbagai negara maju.

Yang pasti, pendekatan dan pelaksanaan dasar yang sistematik perlu diaplikasikan dalam menangani permasalahan ini. Tindakan PBT haruslah tegas agar tidak dilabelkan 'seperti melepaskan batuk di tepi tangga', kerana kita semestinya tidak mahu tragedi ini berulang kembali.

0 Comments:

Post a Comment