Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Bangunan Sultan Iskandar pintu masuk moden ke Malaysia

Utusan online 01/12/2008


JOHOR BAHRU 1 Dis. — Bangunan Sultan Iskandar, yang sebelum dikenali sebagai Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), yang dirasmikan hari ini, merupakan pintu masuk moden ke Malaysia khususnya ke Wilayah Pembangunan Iskandar di sini, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Seramai sembilan juta pengunjung dianggarkan menggunakan kemudahan di situ setiap tahun, kata Perdana Menteri dalam ucapan pada majlis perasmian bangunan oleh Sultan Johor Sultan Iskandar.

Menurutnya, pembukaan Bangunan Sultan Iskandar merupakan titik bersejarah kepada rakyat dan bangunan yang dibina di tanah seluas 113 hektar itu akan menjadi mercu tanda terkemuka.

“Bangunan ini bukan sekadar satu usaha pembangunan tetapi juga adalah satu simbol penting yang melambangkan kemajuan serta potensi wilayah ini.

“Ia merupakan pintu masuk yang moden, cekap dan indah, yang akan memberikan satu gambaran kepada setiap pengunjung dan pelabur dari luar akan kemodenan, kecekapan dan keindahan Wilayah Pembangunan Iskandar, Johor dan pastinya, Malaysia,” katanya.

Bangunan Sultan Iskandar akan beroperasi 24 jam sehari dan bakal dihuni oleh 21 agensi terdiri daripada jabatan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun dan agensi swasta.

Jabatan Imigresen akan bertanggungjawab menyelaras operasi serta pengurusan Bangunan Sultan Iskandar.

“Polis Diraja Malaysia harus memastikan bahawa kawalan keselamatan yang rapi sentiasa diberikan di bangunan ini demi keselamatan dan kesejahteraan pengguna dan negara kita secara amnya,” katanya.

Abdullah juga berkata setiap kakitangan yang berkhidmat di Bangunan Sultan Iskandar merupakan ’duta Malaysia’ kepada dunia luar.

“Kita harus buktikan, malah serlahkan status Malaysia sebagai antara negara yang bukan sahaja maju tetapi juga mempunyai rakyat yang ramah dan berbudi bahas serta tinggi adab nilainya,” kata Abdullah.

Dalam titahnya pula, Sultan Johor berharap Bangunan Sultan Iskandar akan memberikan keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat seterusnya kemajuan kepada negeri.

“Hari ini adalah menjadi satu sejarah kepada negeri Johor kerana mendapat satu bangunan baru. Saya ucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini,” titah baginda.

Turut berangkat ke majlis itu Sultanah Johor Sultanah Zanariah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dan isteri Raja Zarith Sofiah.

— BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment