Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Sentral: DBKL bersih, cat rumah

Bharian online 29/10/2008

Oleh Sharifah Salwa Syed Akil


FLET Taman Miharja akan dicat baru oleh DBKL tidak lama lagi.

Flat Taman Miharja yang usang bakal berwajah baru

KUALA LUMPUR: Rumah Pangsa Taman Miharja akan berwajah baru apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja pembersihan dan mengecat bangunan itu mulai November ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab Hakim Borhan, berkata pemilihan itu bertepatan memandangkan keadaan perumahan itu yang usang selain menjadi pintu masuk utama ke ibu negara.


“Sasaran kita tahun ini adalah Rumah Pangsa Taman Miharja kerana keadaannya yang teruk dan usang. Lagipun, perumahan ini di tepi jalan dan menjadi pintu masuk utama ke ibu kota.


“Bagaimanapun, untuk perumahan lain kita belum memutuskannya lagi tetapi perumahan di tepi jalan protokol kita mungkin akan meminta mereka untuk mengecat sendiri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, program pengindahan bandar raya Kuala Lumpur dimulakan sejak penganjuran Persidangan Pelancongan Asia Pasifik (Pata) 1988, Mesyuarat Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM) dan diteruskan untuk Sukan Komanwel dan Sukan Sea XXI.

Katanya, kerajaan persekutuan memberi peruntukan RM1.5 juta kepada DBKL untuk melaksanakan kerja pengindahan pada 2002.


Daripada jumlah itu sebanyak RM650,000 sudah digunakan untuk mengecat bangunan usang dan membersihkan struktur yang ditinggalkan sempena Sidang Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada 2002 dan 2003.

“Sempena Tahun Melawat Malaysia dan Perayaan Hari Kemerdekaan ke-50 pada 2006, Datuk Bandar Kuala Lumpur mengarahkan kerja pembersihan dan pengindahan diteruskan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM2 juta.

“Ini kerana, isu bangunan usang di Kuala Lumpur sering ditimbulkan pada mesyuarat jemaah menteri dan mesyuarat ketua organisasi kerajaan. Justeru, program berkenaan diteruskan tahun ini dengan pemilihan Rumah Pangsa Taman Miharja,” katanya.

Pada perkembangan lain, Ab Hakim berkata, Kempen Bulan Kebersihan Kuala Lumpur akan diadakan pada 1 November ini di Jalan Masjid India.

Program yang membabitkan DBKL, Alam Flora dan komuniti setempat itu merangkumi aktiviti gotong royong, kempen, pameran, penguatkuasaan dan penanaman pokok untuk memberi kesedaran kepada warga kota supaya sentiasa peka dan sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan dan keindahan Kuala Lumpur.

“Program gotong royong dan pameran akan diadakan pada 1,8,15 dan 22 November di empat kawasan parlimen terpilih iaitu Bukit Bintang (kawasan Masjid India), Setiawangsa, Kepong dan Titiwangsa.

“Kempen ‘anti litter’ di kawasan pusat bandar akan diadakan pada 1 hingga 30 November ini, terbahagi kepada beberapa aspek iaitu pendidikan, khidmat nasihat dan penguatkuasaan,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment