Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Pembeli hilang sabar

Utusan online 21/10/2008


PROJEK perumahan La Cottage Putra Perdana, Puchong terhenti pada tahap 80 peratus.


PUCHONG 20 Okt. - Masalah rumah terbengkalai bukan lagi satu isu baru, malah ia tidak lagi menjadi isu yang dikejar- kejar sama ada media cetak mahupun media elektronik.

Namun, jalan penyelesaian muktamad kepada isu tersebut tidak pernah dapat dicapai menyebabkan banyak projek terbengkalai terus terbengkalai sehingga bertahun-tahun lamanya.

Bagi pihak pembeli pula, kesabaran mereka akhirnya sampai ke kemuncaknya dan mereka mula membentuk jawatankuasa untuk menuntut hak mereka.

Bagi mengelak daripada serangan dan maki hamun pembeli terbabit, pemaju sering menyalahkan kenaikan harga bahan binaan serta menghadapi masalah kewangan sebagai alasan.

Namun, alasan itu tidak akan dapat membendung kemarahan pembeli kerana mereka juga telah bergolok-gadai untuk membeli rumah dan sebahagiannya semakin menderita kerana terpaksa terus membayar sewa rumah yang diduduki.

Masalah yang sama turut menghantui 569 keluarga yang telah menunggu hampir lima tahun untuk mendapatkan rumah idaman mereka di La Cottage Putra Perdana di sini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati hampir 700 buah rumah di kawasan tersebut dihentikan pembinaannya walaupun ada di antaranya telah hampir 80 peratus siap.

Menurut penduduk, projek berkenaan sepatutnya siap antara tahun 2002 hingga 2004 lalu tetapi sehingga kini, pembeli hanya menggigit jari apabila rumah yang diidamkan terbiar tanpa disiapkan.

Lebih memburukkan keadaan, pemaju yang sebelum ini lantang mempromosikan projek perumahan tersebut tidak bersungguh- sungguh untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah itu.

Selain itu, pemaju juga hanya memberi janji-janji manis kepada penduduk untuk menyiapkan rumah berkenaan dalam satu tempoh baru yang ditetapkan.

Mereka juga meminta supaya pembeli membenarkan mereka menangguhkan pembayaran ganti rugi akibat kelewatan menyiapkan kediaman tersebut.

Namun, penduduk yang enggan pisang berbuah dua kali bertegas agar pemaju bertanggungjawab terhadap kelewatan pembinaan rumah berkenaan.

Wakil Jawatankuasa Bertindak La Cottage Putra Perdana, Zulita Saad, 31, berkata, pemaju perlu memenuhi syarat yang penduduk cadangkan baru-baru ini.

Antara syarat itu ialah pemaju dikehendaki memberikan satu jaminan bertulis bahawa mereka akan menyiapkan Fasa 1C, 1D, 1F dan 1G masing-masing dalam tempoh tujuh bulan, tiga bulan, sembilan bulan dan 11 bulan.

"Jawatankuasa yang mewakili penduduk juga mahu pemaju membayar pendahuluan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah ganti rugi atas kegagalan mereka menyiapkannya mengikut jadual seperti yang termaktub dalam perjanjian jual beli (S&P)," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, syarat itu adalah untuk memastikan pemaju tidak lagi memungkiri perjanjian jual beli seperti sebelumnya, sekali gus menghalang mereka daripada bersikap lepas tangan terhadap tanggungjawab kepada kumpulan pembeli yang membelanjakan sehingga RM200,000 bagi sebuah unit kediaman di La Cottage.

"Kami tidak mahu pisang berbuah dua kali dan dianiaya lagi. Pemaju tidak boleh memberikan alasan kenaikan harga bahan binaan atau kontraktor utama mereka gagal menjalankan kerja atau apa sahaja.

"Malah, alasan bahawa mereka tidak punya sumber kewangan untuk menyiapkan projek itu juga sukar kami terima," tegasnya.

Difahamkan, pemaju hanya mula memujuk pembeli setelah ia berada dalam keadaan terdesak berikutan lesennya sebagai pemaju projek hartanah digantung oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Zulita memberitahu, sebelum ini, satu perjumpaan dengan pemaju telah diadakan tetapi pembeli meragui kejujuran pemaju untuk melaksanakan tanggungjawab mereka, apatah lagi tiada seorang pun pegawai tertinggi pemaju hadir pada perjumpaan itu.

Katanya, beberapa soalan yang dikemukakan oleh pembeli gagal dijawab dengan meyakinkan oleh wakil pemaju terutama dari segi kedudukan kewangan pemaju sedangkan mereka menjanjikan satu tempoh baru untuk menyiapkan projek itu.

0 Comments:

Post a Comment