Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Lebih banyak rumah tradisional dicari

Utusan online 17/10/2008

MELAKA 16 Okt. - Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) akan mencari lebih banyak rumah tradisional lama di negeri ini untuk dibaik pulih dan dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan.

Pemangku Pengurus Besar Perzim, Khamis Abas (gambar) berkata, pihaknya begitu optimis dengan usaha tersebut yang dilihat sekali gus dapat membantu mengekalkan rumah tradisional sebagai kediaman yang lebih baik kepada penghuninya.

"Memang setiap hari kita akan mencari rumah-rumah tradisional lama untuk dipulihkan seperti rumah Nordin Ali di Padang Temu yang telah dijadikan muzium persendirian.

"Jika dipersetujui pemiliknya, kerja-kerja baik pulih rumah tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri di bawah Tabung Amanah Pemugaran dan Pemuliharaan Negeri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, setelah rumah siap dipulihkan, pemilik rumah perlu menjaganya dan menjadikannya sebagai produk pelancongan dan sedia menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.

"Contohnya, untuk menjadikannya tarikan, pemilik rumah boleh menganjurkan permainan tradisional seperti congkak atau sebagai pusat untuk menjual produk pelancongan negeri.

"Ini sekali gus dapat memberi pendapatan kepada pemilik rumah dan bukannya dengan mengenakan bayaran kepada pelancong untuk memasuki rumah tradisional mereka," katanya.

Tambahnya, Perzim akan turut membantu pemilik rumah tradisional untuk memperkemaskan lagi susun atur di dalamnya sekiranya mempunyai beberapa bahan untuk dipamerkan kepada pelancong.

"Contohnya, kalau mereka bercadang menjadikannya muzium, Perzim akan bantu menyediakan peti kaca pameran barangan yang diambil dari Muzium-muzium di bawah kelolaannya.

"Jika sesuai, kami akan sediakan bekas kaca pameran yang sudah tidak diperlukan yang diambil daripada muzium Perzim yang telah diubah suai," katanya.

Sejak 2001 sehingga kini, sebanyak 56 buah rumah tradisional di seluruh negeri Melaka sudah dibaik pulih dengan perbelanjaan keseluruhan kira-kira RM184,000 atau purata setiap rumah sebanyak RM40,000.

0 Comments:

Post a Comment