Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Lif rosak sukarkan penduduk


TIADA PILIHAN... Assathamby menunjukkan lif di Blok C Rumah Pangsa Taman Sri Sentosa di Jalan Klang Lama, yang rosak sejak lima hari lalu manakala satu lagi lif tidak berfungsi sejak tiga tahun lalu.


KUALA LUMPUR 18 Sept. - Salah satu daripada masalah yang sering melanda rumah pangsa khususnya perumahan kos rendah di ibu negara ialah kerosakan lif.

Walaupun kesukaran yang dialami penduduk apabila perkara itu berlaku sering dilaporkan oleh media tetapi sehingga kini, masih tiada langkah penyelesaian berkesan ditemui.

Ia terus berulang dan keadaan yang sama kini terpaksa ditempuhi oleh kira-kira 700 penduduk di rumah pangsa 14 tingkat di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama di sini.

Aduan demi aduan dibuat kepada pihak pengurusan bangunan itu, namun sehingga kini keadaan lif yang rosak sejak lima hari yang lalu masih belum diperbaiki lagi.

Tinjauan Utusan Malaysia di rumah pangsa itu mendapati kebanyakan lif di setiap blok flat berkenaan rosak dan tiada tanda-tanda penyelenggaraan dilakukan oleh pihak bertanggungjawab walaupun ia telah beberapa hari tidak berfungsi.

Penduduk mendakwa, masalah kerosakan lif tersebut telah berulang kali berlaku dan ia dipercayai akibat sikap pihak pengurusan bangunan yang tidak membaik pulih lif tersebut dengan sempurna.

Dakwa mereka lagi, alasan yang diberikan oleh pihak pengurusan terbabit ialah segelintir penghuni tidak membayar bil penyenggaraan RM50 sebulan menyebabkan maka mereka tiada peruntukan untuk membaikinya.

Rata-rata penduduk yang ditemui melahirkan rasa kecewa kerana keadaan tersebut yang berlarutan sehingga ke hari ini terutama ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.

Seorang penduduk yang ditemui, Arpa Abdul Malik, 53, mengakui, sejak dia menghuni flat berkenaan enam tahun lalu, kemudahan lif di flat itu sering rosak.

Dia yang merupakan seorang peniaga mengakui keadaan lif yang sering rosak itu menyukarkan dia untuk melakukan aktiviti harian.

"Setiap hari saya terpaksa menggunakan tangga untuk memunggah barang perniagaan saya kerana saya tiada pilihan lain.

"Walaupun saya hanya tinggal di tingkat tiga namun memandangkan saya menjalankan perniagaan kedai makan, jadi ia amat sukar untuk membawa barang turun dan naik ke rumah.

"Tambahan pula, sekarang bulan Ramadan, bayangkanlah saya terpaksa berulang-alik menaiki tangga untuk memunggah baran perniagaan berulang kali selagi lif ini tidak dibaiki," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi penghuni yang ditemui, Assathamby, 53, berkata, keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan menambahkan lagi kesukarannya untuk menggunakan tangga.

Ujarnya, dia mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk turun memandangkan dia tinggal di tingkat 11, tambahan pula kakinya sudah tidak kuat untuk bergerak pantas.

Jelasnya, walaupun sering diadukan, namun pihak pengurusan mengambil mudah sahaja setiap aduan itu, malah menyalahkan penghuni kerana tidak membayar bil penyelenggaraan.

"Saya tidak faham kenapa disebabkan penghuni lain yang tidak membayar bil, penghuni yang tidak bersalah pula menjadi mangsanya dan terpaksa menanggung kesulitan tersebut.

"Sebelum ini, banyak kes kecemasan seperti wanita bersalin dan kematian yang berlaku terpaksa mengambil masa yang lama untuk sampai ke tingkat bawah.

"Jadi, saya bimbang sekiranya ia berterusan begini, pastinya mengundang masalah kepada penghuni di sini, tambahan pula penghuni di sini kebanyakannya telah berusia," jelasnya.

Tambahnya, walaupun setiap blok disediakan dengan dua lif, namun selalunya hanya satu lif sahaja yang beroperasi manakala di Blok C, kedua-dua lifnya rosak dengan salah sebuah daripadanya telah tidak berfungsi sejak tiga tahun lalu.

"Saya amat berharap sesuatu dapat dilakukan dalam masa terdekat ini bagi kemudahan semua penghuni memandangkan sambutan pelbagai perayaan akan menjelang tiba tidak lama lagi," ujarnya.

Seorang lagi penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Linda, 22, berkata, masalah tersebut tidak akan selesai selagi pihak pengurusan tidak bertindak tegas terhadap penduduk yang tidak membayar bil penyelenggaraan sehinggakan menyusahkan ramai pihak.

"Seharusnya pihak pengurusan bertegas terhadap penghuni yang enggan membayar bil penyelenggaraan seperti menghantar notis saman ataupun memotong bekalan air mahupun elektrik mereka.

"Jika pihak pengurusan tidak menyelesaikan masalah tersebut, sudah pastinya masalah ini akan membebani penghuni yang lain.

"Saya juga amat berharap wakil rakyat dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat masuk campur dalam perkara ini bagi mempercepatkan ia diselesaikan," tegasnya.

0 Comments:

Post a Comment