Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Keutamaan terowong SMART untuk pengurusan air banjir


KUALA LUMPUR 8 Sept. - Fungsi utama Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) adalah untuk pengurusan air banjir, manakala fungsinya untuk kegunaan bagi laluan trafik adalah keutamaan yang kedua, kata Pengarah Pusat Kawalan SMART (SCC), Ir. Low Koon Sing.

Beliau berkata, berdasarkan keutamaan itu, laluan trafik di terowong berkenaan terpaksa ditutup untuk mengalihkan air banjir apabila keadaan memerlukan.

Katanya, tanpa Terowong SMART, limpahan air sebanyak 1.16 juta meter padu akibat hujan lebat tanpa henti selama tiga jam pada Khamis lepas sudah pasti akan menenggelamkan kawasan-kawasan tertentu di pusat bandar raya.

Kawasan-kawasan berkenaan ialah sekitar Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, Jalan Masjid India, Jalan Tun Perak, Leboh Pasar, Kampung Baru, Jalan Tun Razak, Jalan P.Ramlee, Jalan Pinang, Kompleks Lama Mahkamah, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Kampung Melayu Ampang.

"Oleh itu, andaian bahawa Terowong SMART tidak berkesan adalah tidak tepat sama sekali," katanya dalam satu kenyataan yang difaks kepada Bernama di sini hari ini.

Kenyataan Low itu dibuat sebagai mengulas kritikan pelbagai pihak mengenai kegunaan serta keberkesanan terowong yang dibina dengan kos RM1.9 bilion itu.

Beliau berkata, sistem terowong itu meliputi tiga Mode, di mana Mode I bermaksud keadaan biasa dan laluan trafik dibenarkan, manakala mode II merujuk kepada keadaan berjaga-jaga namun laluan trafik masih dibenarkan, dan mode III bermaksud keadaan kritikal dan laluan trafik ditutup bagi mengalihkan air banjir.

Katanya, Sistem Pengesan Banjir (FDS) di SCC mengesan hujan cukup lebat pada hari Khamis lepas mulai pukul 2.15 petang yang berlarutan selama tiga jam tanpa henti di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang, dengan kelebatan maksimum dicatatkan 105 milimeter.

Beliau berkata, ia mengakibatkan paras air di Sungai Klang dan Sungai Ampang di lencongan masuk Kolam Takungan Berembang meningkat secara mendadak, dan pada pukul 3.43 petang status Terowong SMART berada pada Mode II, seterusnya Mode III, 15 minit kemudian.

Menurutnya, Pusat Kawalan Trafik Motorway (MCC) kemudiannya mengambil langkah menutup laluan trafik, dan mulai menggosongkan bahagian dua tingkat laluan trafik dalam terowong tersebut.

Low berkata, pada pukul 5.01 petang barulah air banjir sebanyak 1.16 juta meter padu dialihkan ke dalam terowong laluan trafik yang telah dikosongkan oleh pihak MCC.

Beliau berkata, laporan akhbar yang merujuk kepada laporan Bilik Gerakan Banjir, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bahawa tiada kejadian banjir berlaku di kawasan pusat bandar raya walaupun berlaku hujan lebat tanpa henti selama tiga jam, menunjukkan fungsi SMART yang jelas.

"Ini jelas menunjukkan bahawa dengan adanya Terowong SMART, ia berfungsi mengalihkan air banjir menerusi tadahan Sungai Klang dan Sungai Ampang, daripada melimpahi pusat bandar raya Kuala Lumpur.

"Sekiranya tiada Terowong SMART, sudah pasti limpahan air sebanyak 1.16 juta meter padu akan menenggelamkan sebahagian daripada kawasan-kawasan di pusat bandar raya," katanya.

- Bernama

1 Comment:

  1. pentingkesiapaaku? said...
    "Keutamaan Terowong Smart untuk Pengurusan Air Banjir".... Salah tu kawan. Yang sebetulnya macam ni "Keutamaan Terowong Smart untuk Pengurusan Banjir Kerana Mereka Mahukan ia Begitu".

    Kedua-dua keutamaan boleh dilaksanakan secara serentak tanpa mengorbankan mana-mana fungsi. Ianya semudah ABC. Cuma pastikan ruang jalanraya tahan tekanan air dan tidak bocor. Lepas tu kurangkan isipadu untuk kawalan banjir dari 3juta meter padu kepada 2.75juta meter padu secara kekal. Akhirnya banjir ke tak banjir ke terowong jalanraya akan kekal begitu fungsinya. Beres. Susah sangat ke?

    Tidakkah kamu terfikir jika isipadu simpanan air terowong tersebut sebesar 3juta meter padu adalah kritital mengapa pulak jurutera rekabentuk tak buatkan isipadu simpanan bersaiz 3.25juta meter padu? Jadinya 0.25juta meter padu runag jalanraya boleh diasingkan dari keperluan mengawal banjir.

    Cer citer apasal tak boleh? Berikan fakta sebab saya tak mudah ditipu dalam hal yang macam ni.

Post a Comment