Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Hotel Tabung Haji


JEDDAH 21 Sept. - Tabung Haji akan mempunyai hotel sendiri di Tanah Suci Mekah menjelang 2011.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, Tabung Haji kini dalam perundingan peringkat terakhir untuk membina hotel setinggi 30 tingkat dengan 1,650 bilik untuk kira-kira 18,000 jemaah.

"Hotel itu diharap menjadi mercu tanda baru Tabung Haji di Mekah. Selama ini Tabung Haji hanya memajak hotel-hotel untuk tempoh tertentu tetapi dengan pembinaan hotel itu, agensi ini akan memajak untuk jangka panjang di antara 25 hingga 35 tahun," katanya pada sidang akhbar selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak melancarkan Persatuan Persahabatan Arab Saudi-Malaysia di sini.

Menurut Ahmad Zahid, pajakan dibuat kerana Arab Saudi tidak membenarkan mana-mana pihak luar membeli dan memiliki hartanah di negara itu.

Kos tanah pembinaan hotel sebelum rundingan bernilai 650 juta rial Arab Saudi dan kos pembinaan dianggar 350 juta rial.

Lokasi hotel Tabung Haji ini terletak berdekatan Masjid Kucing yang jaraknya kira-kira 450 meter dari Masjidil Haram.

"Apabila Masjidil Haram yang sedang dibesarkan itu siap, hotel Tabung haji akan menjadi antara hotel yang terdekat dengan Kaabah," jelas Ahmad Zahid.

Menurut beliau lagi, pembinaan hotel itu dijangka siap dalam tempoh 18 bulan dan boleh digunakan oleh jemaah pada musim haji 2011.

Konsul Haji di Jeddah, Khaled Nordin yang ditemui Utusan Malaysia pula berkata di Mekah, Tabung Haji pada masa ini memajak 11 buah hotel dan di Madinah sebanyak lima buah hotel untuk kegunaan jemaah haji tahun ini.

0 Comments:

Post a Comment