Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Bandar Angkasa



Oleh Hayati Ibrahim
(hmetro online)

MALAYSIA Airport Holdings Berhad (MAHB), akan membangunkan ‘Bandar Angkasa’ atau Aeropolis di kawasan seluas 1,104 hektar berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang merangkumi kawasan komersial, mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (Mice), logistik dan pelancongan serta santai.

Pengurus Besar Pembangunan Tanah MAHB, Muhd Najib Mohd Rawi, berkata projek yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh antara 10 dan 15 tahun itu akan mengubah KLIA sebagai pusat bandar yang menawar pelbagai rangkaian produk pelancongan, peruncitan, pembangunan komersial dan operasi kargo serta logistik.

“Sebagai permulaan kita akan memulakan pembinaan kemudahan asas seperti jalan raya dan bekalan air suku kedua tahun depan untuk kawasan komersial dan logistik yang merangkumi kawasan 32 hektar.

“Semua projek berkenaan akan dibangunkan pelabur berminat dan kami akan memajakkan tanah berkenaan untuk satu tempoh yang ditetapkan supaya pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya ketika ditemui Bisnes Metro, di Sepang, baru-baru ini.Muhd Najib berkata, pihaknya akan mengiklankan tawaran tender dalam akhbar tempatan untuk menarik pelabur yang berminat membangunkan kawasan itu.

“Permohonan ini tidak terhad kepada pelabur tempatan saja, sebaliknya semua pihak boleh memohon dan kita akan memilih yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata, daripada 1,104 hektar kawasan yang akan dibangunkan, MAHB tetap mengekalkan 40 peratus kawasan hijau termasuk menyediakan kemudahan padang golf, sekali gus mengekalkan tema hijau yang memang sinonim dengan KLIA.

Menurutnya, seluas 161 hektar kawasan akan dibangunkan untuk tujuan santai dan pelancongan yang berkonsepkan agro-tourism dengan menyediakan padang golf, taman tema, taman ekstrem dan pusat latihan.

Muhd Najib berkata, dalam jangka masa panjang KLIA Aeropolis akan menjadi penyumbang kepada perolehan segmen bukan penerbangan.

“Perolehan ini boleh dijana daripada pemajakan tanah, bangunan dan pembayaran royalti daripada sesetengah penyewa perniagaan serta pertumbuhan trafik di KLIA,” katanya.

“Pembangunan itu juga dijangka memacu pertumbuhan di kawasan itu, sekali gus menjadikannya sebagai satu destinasi, tempat pertemuan perniagaan dan pusat tarikan kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, pelan induk pembangunan sudah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk mendapat persetujuan.

Katanya, MAHB akan melaksanakan aktiviti pemasaran dan promosi untuk menarik pelabur dan pemaju bagi menyertai projek berkenaan.

0 Comments:

Post a Comment