Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Industri pembinaan paling terjejas


KUALA LUMPUR 26 Ogos - Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, industri pembinaan tempatan merupakan sektor yang paling terjejas berikutan penstrukturan semula subsidi minyak yang diumumkan oleh kerajaan pada 4 Jun lalu.

Katanya, syarikat pembinaan di negara ini telah mendapat manfaat daripada sistem subsidi minyak kerajaan sejak sekian lama kerana banyak projek infrastruktur yang dilaksanakan menggunakan barangan dan perkhidmatan domestik.

"Kenaikan harga minyak dunia turut meningkatkan kos pembinaan kerana bahan-bahan binaan seperti simen dan keluli mengalami kenaikan harga yang mendadak sehingga menyebabkan projek pembinaan mungkin tergendala," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Binaan Antarabangsa Malaysia (MALBEX) 2008 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya, Datuk Yong Khoon Seng.

Pameran anjuran bersama Reed Exhibitions Sdn. Bhd., (Reed) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) itu akan berlangsung selama empat hari hingga Khamis ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Turut hadir Presiden Asia Pasifik Reed, Paul Beh; Pengerusi CIDB, Datuk Ir. Jamilus Hussien; Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Hamzah Hasan dan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ng Seing Liong.

Mohd. Zin berkata, para kontraktor dan pemaju perumahan boleh memilih untuk menyingkatkan tempoh kerja-kerja pembinaan sebagai salah satu cara bagi mengurangkan risiko projek pembinaan tergendala dengan kadar kos yang tinggi.

"Sekiranya sesuatu projek yang memerlukan tempoh pembinaan selama 18 hingga 24 bulan dapat disingkatkan kepada empat bulan untuk disiapkan, maka ia turut berupaya meningkatkan produktiviti setiap projek yang dilaksanakan pada tahap terbaik," ujarnya.

Menurutnya, tempoh kerja pembinaan boleh disingkatkan dengan menggunakan teknik-teknik pembinaan yang lebih canggih dan menjimatkan kos di samping memecahkan projek pembinaan kepada fasa kecil.

"Sebagai contohnya, penggunaan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) perlu digalakkan dalam projek-projek awam dan swasta untuk membantu menangani masalah-masalah yang melanda industri pembinaan di negara ini," katanya.

Sementara itu, Jamilus memberitahu, pihaknya telah menubuhkan satu jawatankuasa pelaksanaan IBS untuk memperluaskan penggunaan teknologi tersebut dalam sektor pembinaan tempatan.

"Kita telah merangka satu pelan induk IBS selama 10 tahun beserta beberapa program bersepadu untuk disertai oleh golongan yang terlibat dalam industri pembinaan bagi menggalakkan penggunaan IBS di negara ini," jelasnya.

0 Comments:

Post a Comment