Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

SUSUTNILAI : PENGGUNAAN DAN PENGIRAAN

Susunan : Juanita Jaafar, Khosimah Karim & Noraidawati Jaffar

1.0 Pengenalan
2.0 Kepentingan Susutnilai
3.0 Faktor Berlakunya Susutnilai
4.0 Kaedah Pengiraan Susutnilai

1.0 PENGENALAN

Susut nilai (depreciation) adalah merupakan kejatuhan nilai aset tetap sesuatu perniagaan. Susut nilai dianggap sebagai “kehabisan” sebahagian hayat sesuatu aset tetap disebabkan oleh penggunaannya untuk mendapatkan hasil.

Aset tetap adalah merupakan item-item yang dipunyai oleh syarikat dengan jangka hayat yang panjang iaitu melebihi 12 bulan. Secara asasnya, aset-aset tetap ini tidak dimiliki oleh syarikat untuk dijual semula atau ditukarkan kepada wang tunai. Aset tetap digunakan untuk membantu pihak perniagaan mendapat hasil untuk lebih daripada satu tempoh perakaunan, asalkan hayat aset itu belum tamat. Maka, kos aset itu hendaklah diagihkan sebagai susut nilai sepanjang hayat aset digunakan.

Hal ini, adalah selaras dengan konsep pemadanan dalam perakaunan di mana susut nilai tahunan ialah belanja yang mesti dipadankan dengan hasil yang diperoleh dalam tahun berkenaan. Oleh itu, belanja susut nilai di debitkan ke dalam Akaun Untung Rugi.

Akaun Peruntukan Susut Nilai atau Akaun Susut Nilai Terkumpul dibuka untuk merekod susut nilai sesuatu aset tetap supaya baki akaun aset tersebut sentiasa ditunjuk pada harga kos. Akaun Peruntukan Susut Nilai merupakan akaun liabiliti dan jumlahnya ditolak daripada kos aset tetap dalam Kunci Kira-kira untuk mendapatkan nilai buku bersih aset tersebut. Semakin lama tempoh penggunaan aset tetap, semakin banyak jumlah susut nilai terkumpul bagi astet berkenaan. Hal ini menyebabkan nilai buku aset tetap dalam Kunci Kira-kira semakin kurang.

2.0 KEPENTINGAN SUSUTNILAI

Kaedah yang digunakan oleh akauntan untuk mengetahui keuntungan atau kerugian bagi sesuatu jangkamasa perakaunan ialah melalui proses pemadanan. Hasil bagi jangkamasa tersebut dihitung dan akan dipadankan dengan kos-kos yang terlibat dalam mendapatkan hasil itu dan selisih ynag diperolehi merupakan keuntungan atau kerugian. Salah satu daripada kos yang mesti diambil kira ialah yang boleh digunakan dalam pemakaian (atau dalam beberapa hal tak-pakai) yang telah dibuat terhadap harta-harta tetap perusahaan tersebut bagi mendapat hasil selisih.

Contohnya, andaikan satu perusahaan menggunakan suatu mesin tertentu bernilai RM10,000.00. Jika mesin ini mempunyai hayat yang dianggarkan sepuluh tahun, menunjukkan bahawa mesin tersebut merupakan satu kos bagi perniagaan tersebut. Sekiranya diandaikan RM1,000.00 diperuntukkan untuk kos pemakaian mesin tersebut selama satu tahun, setiap satu penyata perakaunan Untung-Rugi hendaklah menggambarkan kos tersebut. Di dalam contoh ini, kos menggunakan mesin tersebut adalah sebanyak mana belanja menjalankan perniagaan tersebut seperti upah kepada pekerja-pekerja.

Sebenarnya apabila sesuatu harta seperti mesin dibeli (berkaitan dengan tatacara perakaunan) kos yang dikenakan kepada akaun harta dan seterusnya, ianya digunakan di sepanjang tempoh hayatnya. Jumlah berkadar kos tersebut dikenakan dalam tiap-tiap satu jangkamasa perakaunan terhadap hasil-hasil kendalian sebagai gambaran nisbah kos asal yang telah habis sekarang ini akan dipadankan terhadap bagi hasil jangkamasa tersebut. Jumlah yang dikenakan kepada tiap-tiap satu jangkamasa perakaunan disebut susutnilai. Kejatuhan nilai pasaran tidak merupakan perkara yang penting kerana susutnilai adalah didasarkan terhadap faktor-faktor dalaman.

Harta yang tertinggal di dalam kos asal dan peruntukkan berikutnya adalah dibuat dalam tiap-tiap satu jangkamasa perakaunan sehingga kos asal diperolehi sepenuhnya. Satu jumlah besar potongan susutnilai akan sama dengan kos asal harta itu pada ketika hayatnya yang berguna berakhir. Jumlah besar peruntukkan bagi susutnilai mungkin lebih besar atau lebih kecil daripada kos asal tetapi sekiranya dihitung dengan teliti, jumlah besarnya hampir sama dengan kos asal tersebut.

Berdasarkan keterangan di atas dapatlah disimpulkan bahawa kepentingan susutnilai ialah :
1. Ianya merupakan kos habis yang mesti dipadankan terhadap hasil seperti lain-lain kos yang terlibat dalam mendapatkan hasil itu.

2. Peruntukkan yang dibuat bagi bayaran tersebut membolehkan akauntan menggunakan satu cara penulisan harta di luar dari buku-buku pada masa hayat khidmatnya berguna telah habis.

3. Bayaran yang dibuat terhadap untung bagi susutnilai tersebut membolehkan untung bersih yang akhir bagi perniagaan tersebut dikurangkan seterusnya untung yang ada untuk pengagihan kepada tuanpunya-tuanpunya dapat dikurangkan.

4. Sumber-sumber wang adalah dikekalkan di dalam perniagaan iaitu peruntukkan kos penggantian harta yang disusutkan nilainya itu. Ini bermakna sejumlah wang dikekalkan di dalam perniagaan yang hampir sama dengan kos asal harta tersebut. Di samping itu pengekalan wang tersebut boleh juga digunakan untuk lain-lain kegunaan.

3.0 FAKTOR BERLAKUNYA SUSUTNILAI

Faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya susutnilai ialah :

1. Buruk dan haus
Merupakan salah satu daripada faktor yang umum terhadap harta-harta separti loji dan jentera, kereta, motor, perabot dan kelengkapan yang lain. Geseran dan getaran merupakan sebahagian daripada aspek buruk dan haus. Walaupun pembaikan dan penyelenggaraan boleh dilakukan bagi mengimbangi proses buruk dan haus tersebut namun perkara ini tidak mungkin dapat mengekalkan harta itu dalam kerja yang sempurna.

2. Aliran masa
Masa merupakan factor yang sesuai bagi susutnilai. Selain itu, harta ynag sama turut dipengaruhi oleh masa ialah Hak-hak Jaminhak dan Hakcipta.

3. Luarguna
Istilah luarguna digunakan bagi menunjukkan bahwa harta-harta menjadi luarguna disebabkan keupayaan khidmatnya telah merosot.

4. Kerosakan Nyata
Sesetengah harta berkurangan dalam nilai faedahnya walaupun digunakan. Sebagai contoh, jika ladang buah tidak dijaga maka harta modal iaitu pokok-pokok menjadi rosak.

5. Susutan
Istilah ini digunakan terhadap harta-harta seperti kuari, lombong, telaga minyak, hutan dan sebagainya di mana pengambilan terhadap punca-punca pebgeluaran ynag merupakan harta dan kuantiti punca-punca pengeluaran itu adalah berkurangan.


4.0 KAEDAH PENGIRAAN SUSUT NILAI

Terdapat beberapa kaedah utama untuk mengira susut nilai iaitu;

a) Kaedah garis lurus
b) Kaedah baki berkurangan
c) Kaedah penilaian semula


Kaedah Garis Lurus / Ansuran Tetap / Kadar Rata / Peratus atas Kos

Mengikut kaedah ini, jumlah susut nilai bagi setiap tahun adalah sama sepanjang tempoh hayat aset tetap itu. Jika tempoh hayat aste tetap dapat ditentukan, kos aset itu dibahagikan sama rata sepanjang tempoh hayatnya iaitu,

Kos asal – Nilai skrap
Susut nilai tahunan = ---------------------------------
Bilangan tahun penggunaan aset


Nilai skrap ialah nilai bakian iaitu nilai aset yang dijual setelah tamat tempoh usia penggunaannya. Pengiraan susut nilai melalui kaedah ini adalah dapat dilihat dengan jelas seperti contoh berikut:

Contoh 1

Syarikat Awang membeli sebuah mesin dengan harga RM 38,600 dan mesin itu dianggarkan dapat digunakan selama 8 tahun. Pada akhir tahun yang kelapan, mesi itu dijangka dapat dijual sebagai besi buruk dengan harga RM 600. (Nilai skrapnya ialah RM 600.)

Pengiraan

RM 38,600 – RM 600
Susut nilai tahunan = -------------------------
8

= RM 4,750

Maka jelas bahawa susut nilai tahunannya adalah sejumlah RM 4,750.

Seandainya tempoh hayat aset tidak dapat ditentukan, susut nilai tahunan dapat dihitung dengan formula yang berikut:

Susut nilai tahunan = % susut nilia aset tetap x kos asal aset

Contoh pengiraannya adalah seperti di bawah,

Contoh 2

Kos belian perabot oleh syarikat Stephen ialah RM 6,600. Perabot itu disusutnilaikan dengan kadar 10% setahun daripada kos asalnya.

Pengiraan

susut nilai tahunan = 10 % x RM 6,600
= RM 600

Keburukan kaedah garis lurus ialah tidak realistik atau pun tidak begitu tepat. Hal ini adalah kerana nilai sesuatu aset tidak disusutkan pada kadar yang sama setiap tahun. Susut nilai sesuatu aset juga bergantung kepada kekerapan penggunaan aset itu. Semakin kerap sesuatu aset digunakan, semakin tinggi susut nilainya.

Kaedah Baki Berkurangan
Peratus susut nilai dikenakan ke atas nilai buku aset atau nilai baki pada awal setiap tempoh perakaunan. Jumlah peruntukan untuk susut nilai akan semakin berkurangan kerana nilai buku aset pada awal setiap tempoh perakaunan semakin berkurang.

Contoh 3

Sebuah kenderaan dibeli dengan harga RM 50,000. Kenderaan itu susut nilai dengan kadar 10% setahun mengikut kaedah baki berkurangan.

Pengiraan

Tahun 1 Kos kenderaan RM 50,000
Tolak 10% susut nilai 5,000
------------
Tahun 2 Nilai baki awal tahun 45,000
Tolak 10% susut nilai 4,500
------------
Tahun 3 Nilai baki awal tahun 40,500
Tolak 10% susut nilai 4,050
------------
Tahun 4 Nilai baki awal tahun 36,450
========

Kaedah Penilaian Semula

Aset tetap dinilaikan pada awal tahun perakaunan dan juga pada akhir tempoh perakaunan. Pengurangan nilai aset berkenaan merupakan susut nilai. Kaedah ini sesuai untuk susut nilai alat-alat kecil seperti pmutar skru, spana, tukul dan lain-lain alat lagi untuk kegunaan bengkel.
Contoh 4

Mohandas memulakan bengkel membaiki kenderaan pada 1 Januari 1998 dengan alat-alat kecil yang bernilai RM 1,500. Sepanjang tahun 1998, alat-alat kecil tambahan sebanyak RM 500 telah dibeli. Pada 31 Disember 1998, alat-alat kecil dinilaikan sebanyak RM 1,800.

Pengiraan

Nilai buku alat-alat kecil pada 1 Jan 1998 RM 1,500
Tambah Belian alat-alat kecil 500
-----------
2,000
Tolak Nilai buku alat-alat kecil pada 31 Dis 1998 1,800
------------
Susut nilai alat-alat kecil 200

Selain daripada teknik-teknik pengiraan susut nilai yang dinyatakan di atas, terdapat juga beberapa kaedah lain yang digunakan bagi tujuan yang sama. Walau bagaimanapun kaedah-kaedah ini hanya akan diterangkan secara kasar kerana ia jarang sekali diamalkan berbanding teknik-teknik yang diterangkan sebelum ini. Teknik-teknik ini adalah :

a) Kaedah persamaan kos dan pembaikan
b) Kaedah kira unit
c) Kaedah pengurangan nilai unit
d) Kaedah susut nilai jumlah angka tahun


Kaedah persamaan kos dan pembaikan
Dalam kaedah ini jumlah kos pembaikan yang dianggarkan akan ditambah kepada nilai harta itu dan satu jumlah tetap didebitkan kepada akaun untung rugi di sepanjang hayat harta itu yang merangkumi kedua-duanya susut nilai dan pembaikan harta tersebut. Sebenarnya adalah sangat rumit untuk menganggarkan pembaikan di masa hadapan. Oleh itu, kaedah ini tidak begitu banyak diamalkan.

Kaedah kira unit
Kaedah ini memperuntukkan kos bagi aset tetap berdasarkan penggunaannya. Sebagai contoh, sebuah mesin boleh diukur mengikut jumlah jam kerja mesin tersebut. Bagi sesebuah mesin, peruntukan susut nilai adalah berdasarkan kepada nisbah jumlah jam sesebuah mesin beroperasi dalam suatu tempoh tertentu berbanding jumlah jam mesin tersebut dianggarkan dapat beroperasi.

Contoh 5

Anggaran hayat mesin 100,000 jam
Kos mesin RM 5,000
Nilai skrap mesin RM 500
Jumlah jam digunakan dalam tahun semasa 25,000 jam

Berdasarkan maklumat di atas, susut nilai bagi mesin tersebut dalam tahun semasa adalah

25,000 jam x RM 4,500 = RM 1,125
-------------
100,000 jam

Jumlah unit yang dapat dihasilkan oleh sesebuah unit mesin atau jumlah jarak perjalanan sesebuah kenderaan seperti lori dapat digunakan bagi menggantikan jumlah jam penggunaan sesuatu aset.


Kaedah pengurangan nilai unit

Bagi aset-aset tetap tertantu seperti tanah lombong atau kuari, pada kebiasaanya susut nilai bagi aset tersebut diukur melalui juamlah kuantiti bahan mentah yang diperolehi berbanding anggaran jumlah kuantiti sebenar. Contohnya, sebuah perniagaan telah membeli sebuah kawasan lombong bernilai RM 30,000 yang dianggar dapat mengeluarkan sejumlah 1,000 tan bijih timah. Oleh itu, bagi setiap tan yang diperolehi, dalam tempoh masa perakaunan, perniagaan tersebut menganggarkan susutan nilai sebanyak RM 30 bagi aset tersebut.


Kaedah susut nilai jumlah angka tahun

Kaedah ini berlainan sedikit berbanding kaedah baki berkurangan yang mana kaedah ini mengandaikan bahawa potongan susut nilai hendaklah merupakan paling berat pada tahun-tahun permulaan hayat aset tersebut. Susut nilai bagi tiap-tiap tempoh perakaunan dikira berdasarkan nisbah jumlah tahun hayat yang masih ada dengan jumlah tahun hayat aset tersebut kepada kos bagi aset tersebut.


Jumlah tahun hayat yang masih ada
Susut nilai = ------------------------------------ x Kos aset
Jumlah tahun hayat aset


Contohnya, bagi sebuah aset yang bernilai RM 3000 yang akan digunakan selama 5 tahun, pengiraannya adalah seperti berikut:

Pada tahun pertama loji itu mempunyai jangkaan hayat selama 5 tahun
Pada tahun kedua loji itu mempunyai jangkaan hayat selama 4 tahun
Pada tahun ketiga loji itu mempunyai jangkaan hayat selama 3 tahun
Pada tahun keempat loji itu mempunyai jangkaan hayat selama 2 tahun
Pada tahun kelima loji itu mempunyai jangkaan hayat selama 1 tahun
----------
15 tahun
=======
Oleh itu, pada tahun pertama 5 / 15 daripada kos set (RM 3000) diperuntukkan bagi susut nilai, tahun kedua 4 / 15, tahun ketiga 3 / 15 dan seterusnya.

Tahun pertama = RM 1000
Tahun kedua = RM 800
Tahun ketiga = RM 600
Tahun keempat = RM 400
Tahun kelima = RM 200
----------
Jumlah RM 3000
=======

0 Comments:

Post a Comment