Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Bukan Sekadar Gaji

Assalamualaikum...


Tahniah kepada mereka yang telah bergelar Jurukur Bangunan walau di mana sahaja tempat anda menjalankan tugas yang diamanahkan. Apakah skop kerja anda? Adakah anda faham peranan dan kerja anda? Sudahkah anda bersedia untuk menjalankan tanggungjawab yang diberikan?


Banyak persoalan yang perlu ditujukan kepada diri kita. Bukan setakat boleh berkata dengan bangga bahawa "Saya seorang Jurukur Bangunan" sedangkan banyak persoalan dalam diri kita yang masih belum terjawab. Ketika menimba ilmu, kita telah diberikan ilmu untuk menyediakan kita dalam menghadapi alam pekerjaan. Tapi adakah itu sudah mencukupi? Kita tahu theori dan praktikal merupakan dua perkara yang jauh berbeza.


Bagi bidang baru yang sudah boleh bertatih, masih banyak lagi yang perlu kita pelajari. Kita tidak lagi boleh mengharapkan orang membimbing kita untuk membuat tugas kerana rujukan di tempat kerja amat terhad memandangkan profesion ini baru sahaja diwujudkan. Jadi janganlah kita malu untuk bertanya kepada mereka yang lebih berpengalaman walaupun mungkin taraf pendidikan mereka lebih rendah tetapi pengalaman mereka lebih berharga. Mungkin rujukan kita bukan berada dalam aliran pendidikan yang sama dengan kita tetapi dengan pengalaman (praktikal) yang mereka ada dan ilmu (theori) yang kita telah pelajari, apabila digabungkan boleh memberikan satu impak yang besar dalam penyelesaian masalah atau memudahkan kita dalam memahami dan menjalankan tugas.


Sebelum anda melangkah masuk ke alam pekerjaan, penuhkan ilmu di dada. Kita tahu profesion ini masih baru dan orang sekeliling memandang enteng dengan profesion yang dianggap tidak perlu ada kerana sejak awal telah wujud arkitek dan jurutera. Kita akan dijadikan sebagai bahan kajian mereka dan kalau tersilap sedikit sahaja, perkara itu boleh menjadi satu isu besar. Jadi anda mesti memartabatkan profesion ini dengan menunjukkan bahawa anda mampu melakukannya dengan betul.


"Malu Bertanya Sesat Jalan" dan kalau kita tidak tahu jangan berat mulut untuk bertanya. Sesetengah orang menganggap bila bertanya menunjukkan kita bodoh. Buang pemikiran kolot ini jauh-jauh. Ilmu Allah itu luas dan tidak semua kita tahu. Ingatlah bertanya merupakan salah satu kaedah menuntut ilmu. Penuhi ilmu di dada untuk persediaan dalam menghadapi alam pekerjaan. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Insya Allah dengan usaha kita, segala kerja dipermudahkan.

Akhir kata, jangan persia-siakan peluang yang telah diberikan. Martabatkan profesion Jurukur Bangunan supaya ianya dapat diterima masyarakat amnya dan profesion lain khasnya.

Salam maju jaya.

Wassalam

0 Comments:

Post a Comment