Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

PM cuba memperbodohkan rakyat dengan cadangan pelik

Saidah Hairan
Sat | Jun 14, 08 | 5:09:19 pm MYT

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar pelik dengan sikap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mencabar lima negeri Pakatan Rakyat supaya menurunkan harga minyak terlebih dahulu sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum lalu

Beliau mempersoalkan apakah PM masih tidak faham atau sengaja 'buat-buat tidak faham' dengan bidang kuasa kerajaan negeri dan Persekutuan.

Cadangan PM itu jelas cuba memperbodohkan rakyat khususnya bagi mereka yang tidak faham dengan Perlembagaan kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Abdullah sudah tentu faham untuk menurunkan harga minyak, gas, tol dan sebagainya merupakan kuasa kerajaan Pusat. Kenapa pula beliau hendak mencabar lima buah negeri Pakatan Rakyat supaya menurunkan minyak terlebih dahulu," tegasnya.

Mahfuz merupakan ahli Parlimen Pokok Sena menegaskan, jika PM mahu lima kerajaan negeri Pakatan Rakyat menurunkan harga minyak apakah beliau bersedia memberikan hak atau kuasa kepada kerajaan Pakatan Rakyat memungut cukai pendapatan.

Katanya, jika kerajaan negeri boleh turunkan harga minyak itu bermakna kerajaan itu mempunyai hak untuk memungut cukai pendapatan.

Menurut beliau, hujah PM hanya mahu mempengaruhi orang kampung seolah-olah PAS hanya pandai berjanji sedangkan jika diteliti janji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Rakyat akan menurunkan harga minyak jika dapat mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Jika Abdullah mahu kerajaan Pakatan Rakyat menunaikan janji menurunkan harga minyak katanya, PM perlu letak jawatan dan beri peluang kepada PAS untuk memerintah.

"Insya-Allah PAS bukan saja boleh menurunkan harga minyak bahkan mampu menjana pertambahan pendapatan kepada negara dalam suasana berlakunya kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa," tegasnya.

Sehubungan itu beliau menggesa rakyat supaya tidak boleh membiarkan diri mereka terus diperbodohkan oleh kerajaan BN khususnya PM dan Timbalannya berhubung isu kenaikan harga minyak.

Ini kerana katanya, alasan yang dicadangkan oleh PM seperti membayar gaji kakitangan awam dua kali sebulan tidak boleh diterima dan jelas tidak masuk akal.

Tambah beliau, rakyat perlu bersatu melakukan satu tuntutan yang kuat bagi memastikan harga minyak petrol dan diesel diturunkan segera.

"Membayar gaji sebulan dua kali merupakan satu kaedah yang melucukan. Saya minta PM tunjukkan kaedah gaji yang dibayar dua kali sebulan boleh mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat," soalnya.

Merujuk dua cadangan PM lima kerajaan Pakatan Rakyat perlu mendahului menurunkan harga minyak dan pembayaran gaji dua kali sebulan katanya, "Apakah PM memberi cadangan tersebut selepas bermimpi atau bangun daripada tidur." - mks.

0 Comments:

Post a Comment