Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Kenaikan harga minyak, hadiah kerajaan 'PM terlampau' - Mahfuz

Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | Jun 04, 08 | 9:01:36 pm MYT

KOTA BHARU, 4 Jun (Hrkh) - Pengumuman kenaikan harga minyak (diesel RM1,00 dan Petrol RM0.78 sen) yang dibuat kerajaan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad badawi disifatkan sebagai hadiah dari kerajaan 'PM terlampau' kepada rakyat.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar kepada Harakahdaily hari ini selepas pengumuman kenaikan harga minyak yang dibuat kerajaan sebentar tadi.

Sambil menyatakan ia sebagai satu tindakan yang terlampau, Mahfuz berkata kerajaan Abdullah Badawi sekali lagi menipu rakyat dengan tanpa sebarang petanda terus mengumumkan kenaikan harga minyak pada tahap tertinggi.

Sedangkan sebelum ini kenaikan dikatakan akan dikaji dan berkemungkinan akan berlaku pada Ogos ini, ujar Mahfuz.

Namun tanpa sebarang 'signal' awal kepada rakyat, kerajaan terus memperbodohkan rakyat dengan menaikkan sekali lagi harga minyak pada satu tahap yang cukup menjerat kehidupan rakyat.

"Ini keputusan dari kerajaan yang terlampau, rakyat dihadiahkan dengan kenaikan RM0.78 sen harga petrol sementara diesel sehingga rm1.00. Ini satu kenaikan yang tertinggi yang pernah dicatatkan," ujarnya.

"Dengan tindakan ini, rakyat dihumban kerajaan Umno/BN kepada satu kehidupan yang lebih teruk tanpa sebarang belas kasihan," ujar Mahfuz.

Baginya tindakan ini sekali lagi satu penipuan dimana sebelum ini semasa pilihan raya umum yang lalu, kerajaan berjanji tidak akan menaikkan harga minyak.

Sebaliknya selepas tiga bulan pilihan raya umum berlalu dengan rakyat hampir menolak kerajaan yang ada, kerajaan BN membalas dendam dengan menaikkan harga kepada tahap yang melampau.

"Kita akan berbincang dengan NGO dan Pakatan Rakyat untuk membuat tindakan bantahan.

"Saya bimbang jika pilihan raya lalu rakyat telah memberi signal yang jelas kepada kerajaan agar jangan mempermainkan rakyat, kali ini rakyat bakal memberi signal kepada kerajaan untuk berundur dengan kenaikan harga minyak ini," ujarnya.

Sementara itu dalam tinjauan Harakahdaily di stesen-stesen minyak di sekitar ketereh dan Machang, deretan kenderaan sedang bersesak untuk mengisi minyak berikutan pengumuman kerajaan sebentar tadi.

Kesesakan hampir 5 kilometer berlaku di Ketereh sementara di Kok Lanas pula kesesakan bermula daripada Jalan Kok Lanas ke Ketereh berhampiran Stesen Minyak Caltek Jalan Kota Bharu Kuala Krai.

Ramai yang ditemui mengungut dengan kenaikan harga minyak yang melampau ini.

0 Comments:

Post a Comment