Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Risiko di tapak pembinaan

Risiko di tapak pembinaan

Untuk mencapai sasaran sifar kematian di tapak pembinaan, lebih banyak langkah pencegahan dan keselamatan perlu dilakukan.




Tapak pembinaan boleh dikategorikan sebagai zon berbahaya bukan sahaja kepada pekerja tetapi juga orang awam di sekitar atau berhampiran kawasan tersebut.

Rata-rata pekerja di tapak pembinaan terdedah kepada bahaya atau risiko antaranya akibat ketinggian tempat kerja, barang-barang yang dikendalikan, elektrik, motor, objek tajam yang bergerak, lif, kimia, habuk, bunyi bising dan ruang yang terbatas.

Kebanyakan tapak pembinaan tidak dapat memisahkan sepenuhnya keselamatan di antara pekerja dan orang awam. Tapak pembinaan jalan umpamanya pada kebanyakan masa perlu membenarkan trafik menggunakan laluan tersebut.

Kompleks beli-belah atau bangunan awam yang lain pula tidak boleh ditutup apabila sebahagian daripada bangunan-bangunan tersebut menjalani pengubahsuaian. Ini menyumbang sedikit sebanyak risiko kepada orang awam.

Presiden Persatuan Pengguna Standard Malaysia, Datuk N. Marimuthu, berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), pemaju, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan banyak pihak lain mempunyai peranan penting dalam mengurangkan kemalangan di tapak pembinaan.

"Sasarannya harus kematian sifar di tapak-tapak pembinaan dan mana-mana tempat kerja," katanya mengulas laporan akhbar mengenai kematian seorang pemuda akibat terjatuh ke dalam lubang ketika memasuki kawasan yang sedang diubahsuai di sebuah kompleks beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kemungkinan berlakunya kecederaan melibatkan orang awam bergantung kepada pelbagai faktor termasuk kedudukan tapak kerja pembinaan dengan lokasi seperti kawasan perumahan, taman permainan dan sebagainya.

Beberapa faktor yang boleh mengundang kecelakaan kepada orang awam, selain pekerja di kawasan pembinaan itu sendiri termasuklah kecuaian, tiada pagar keselamatan atau ciri-ciri lain yang boleh mengelakkan kemalangan.

"Apa yang kita inginkan ialah tapak pembinaan dipastikan berada dalam keadaan selamat sekiranya dicerobohi oleh orang awam," kata Marimuthu.

Beliau menyatakan beberapa contoh pencegahan termasuk memagar lubang yang dikorek, menutup lubang, mengadakan tanda amaran, mengunci pintu masuk tapak yang dipagar dan menugaskan pengawal keselamatan sekiranya perlu.

"Pendekatan kejuruteraan atau prosedur lain yang benar-benar berkesan bagi mengelakkan orang awam daripada menceroboh tapak pembinaan boleh juga dipertimbangkan," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut tentang standard keselamatan untuk orang awam sewaktu operasi pembinaan, Marimuthu berkata, ia perlu juga mengambil kira objek yang jatuh daripada membahayakan keselamatan orang awam.

"Gunakan penghadang atau jaring, ambil langkah berwaspada untuk melindungi orang awam daripada kren, kenderaan bermotor atau sebarang jentera dan peralatan. Beri ingatan kepada orang awam tentang kesan bunyi bising, peralatan pembinaan dan pastikan laluan berhampiran tapak pembinaan boleh dilalui dan selamat.

"Simpan bahan yang berbahaya, kaji kawasan yang hendak digerudi atau digali lubang serta adakan pelan bertindak kecemasan di tapak pembinaan," tambahnya.

Menurut Marimuthu, apa yang diharapkan oleh pihaknya ialah supaya industri pembinaan atau pengilangan dapat mengawal perjalanan industri masing-masing.

Setakat ini, katanya, perkara yang menjadi kebimbangan besar ialah ramai bilangan pekerja asing yang diambil bekerja oleh pihak industri pembinaan di mana kecederaan yang dialami mereka tidak dimasukkan ke dalam statistik yang disediakan oleh DOSH.

Keadaan itu, katanya tidak memberikan gambaran yang tepat mengenai tahap keselamatan dalam industri pembinaan di negara ini.

"Negara kita semakin bergantung kepada pekerja asing dan pengecualian data tersebut mungkin memberikan kita gambaran palsu bahawa semuanya selamat dan tidak perlu mengambil sebarang tindakan segera," hujah Marimuthu.


PERKARA yang menjadi kebimbangan besar ialah ramai bilangan pekerja asing yang diambil bekerja oleh pihak industri pembinaan. - Gambar hiasan


Menurutnya, pihaknya berharap DOSH, CIDB dan dua kementerian (Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kerja Raya) dapat memastikan agensi penguatkuasaan masing-masing menggunakan sepenuhnya kuasa berhubung tapak pembinaan dan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"Hentikan sikap melindungi pemaju dan pemilik tapak yang sedang dibangunkan. Undang-undang sepatutnya menghukum pemilik dan pemaju dan bukannya mencari kambing hitam.

"Meletakkan tanggungjawab ke atas pemaju dan pemilik tapak yang sedang dalam pembinaan akan memastikan insiden lampau (seperti insiden yang menyebabkan kematian Dr Liew Boon Horng pada awal 2006 di Plaza Damas dan dua pekerja di Pavilion Kuala Lumpur pada 2007 tidak berulang," tegas Marimuthu. - Bernama

0 Comments:

Post a Comment