Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Ukur Bangunan maju setapak lagi!!!


JKR tubuh Bahagian Juruukur Bangunan
Sumber dari Berita Harian 12 June 2007
Oleh Magendran Rajagopal

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menubuhkan Bahagian Juruukur Bangunan bagi memeriksa setiap bangunan kerajaan selepas siap dibina untuk memastikan semua spesifikasi dan skop kerja dipatuhi kontraktor serta subkontraktor mengikut perjanjian.


Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata bahagian itu berfungsi sebagai jabatan pusat di bawah kementeriannya untuk memastikan tahap penyelenggaraan yang mantap dikekalkan dengan mengenakan denda dalam bentuk surcaj terhadap kontraktor jika tanggungjawab diabaikan.

“Kita mahu JKR bersikap `besar kepala’ apabila bertindak tegas memastikan kontraktor dan subkontraktor projek kerajaan mematuhi prosedur kerana jika berlaku kesilapan, orang ramai tidak mencari kontraktor, sebaliknya kementerian ini dipersalahkan. Jadi, kita perlu tunjukkan kuasa kita.

“Saya mahu pegawai JKR dan agensi di bawah kementerian ini memeriksa latar belakang setiap syarikat kontraktor, termasuk pengarah, jurutera, arkitek dan pekerjanya bagi memastikan mereka benar-benar mahir dan layak menjalankan sesuatu projek.

“Setiap pegawai JKR mesti mengambil inisiatif memastikan penyelenggaraan dan kemasan setiap binaan menepati standard piawaian yang tinggi bagi reka bentuk pelaksanaan dan penyeliaan,” katanya pada sidang media selepas sesi perjumpaan dengan pegawai kanan semua agensi di bawah kementeriannya, di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kerjaraya, Datuk Syed Jamal Syed Jaafar; Ketua Pengarah JKR, Datuk Dr Judin Abdul Karim; Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Mohamad Razali Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Hamzah Hassan.

Perjumpaan itu disusuli bengkel sehari bertajuk `Pelaksanaan dan Pengukuhan Sistem Penyampaian Yang Efektif’ itu bertujuan mendapatkan maklum balas untuk menetapkan tahap piawaian standard bagi projek infrastruktur.

Samy Vellu berkata, selain penubuhan Bahagian Juruukur Bangunan bagi mengesan kecacatan dalam pembinaan, semua pegawai JKR dan agensi di bawah kementerian itu diarah merangka carta pelaksanaan ketika memberikan projek kepada sesebuah kontraktor.

“Sehubungan itu, saya cadangkan setiap projek dibahagi kepada empat peringkat dengan setiap satu memperincikan 25 peratus daripada skop kerja bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan secara menyeluruh dan kontraktor dikenakan surcaj jika tidak mematuhi perjanjian.

“Kita boleh beri peluang kepada kontraktor membetulkan kesilapan dan mengembalikan surcaj selepas itu. Kalau masih lagi bermasalah, kita boleh senarai hitam kontraktor ini supaya tidak lagi mendapat projek kerajaan,” katanya.

Samy Vellu turut menggesa Unit Aduan di kementeriannya disusun semula supaya lebih proaktif selain mudah didekati masyarakat umum dan aduan mereka direkodkan dengan lebih cepat serta menyelesaikan rasa tidak puas hati mereka seberapa segera mungkin.

0 Comments:

Post a Comment