Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Segera perkenal Juruukur Bangunan


SUMBER DARI BERITA HARIAN
29 JUNE 2007
OLEH AHMAD FAUZI

CADANGAN Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu menggantikan siling akustik kepada siling plaster bagi semua bangunan kerajaan yang bakal dibina untuk mengatasi masalah kejadian siling runtuh di bangunan kerajaan perlu dikaji secara mendalam dan diperhalusi semula.

Pendapat ini diutarakan kerana beberapa kejadian kerosakan yang berlaku ke atas beberapa bangunan kerajaan yang lalu bukan hanya membabitkan isu siling runtuh tetapi juga membabitkan kejadian kebocoran paip serta dinding retak.

Cadangan untuk menggantikan siling akustik kepada siling plaster sudah pasti tidak akan mengatasi masalah kerosakan serta kecacatan bangunan secara menyeluruh dan berkesan. Malah, ia hanya akan menyebabkan kos pembinaan meningkat serta sukar untuk melakukan kerja penyelenggaraan apabila ada kerosakan.

Tambahan pula penggunaan siling plaster sebenarnya sesuai diguna bagi ruang tertentu saja.

Jika kita merujuk kepada kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Abdul Samad pada 24 Jun lalu, konsep reka dan bina atau rundingan terus dikenal pasti sebagai punca mengapa bangunan kerajaan menghadapi masalah penyelenggaraan, daripada kebocoran paip kepada keretakan struktur kerana juru perunding yang dilantik menerima bayaran daripada kontraktor yang membina bangunan itu.

Keadaan ini jelas menunjukkan wujud konflik kepentingan antara juru perunding dan kontraktor pembinaan bangunan berkenaan.

Untuk memastikan kejadian kerosakan bangunan ini dibendung, kerajaan perlu melantik juru perunding yang memihak kepada kepentingan kerajaan bagi menilai tahap kualiti serta spesifikasi bahan yang digunakan oleh kontraktor.

Langkah ini sebagai ‘check and balance’ ke atas kerja yang dilaksanakan oleh juru perunding yang dilantik oleh kontraktor dalam sesuatu projek pembinaan.

Sebagai menyokong pendapat PAC itu, saya berpendapat kerajaan perlu memberi kepercayaan kepada Juruukur Bangunan untuk bertindak sebagai juru perunding yang mewakili kepentingan kerajaan bagi melakukan ‘check and balance’ ke atas kerja yang dilakukan oleh kontraktor dan juru perunding.

Kemampuan Juruukur Bangunan ini tidak perlu dipertikaikan kerana ia mendapat pengiktirafan daripada Balai Iktisas Malaysia, Institute of Surveyor Malaysia, Royal Institute of Chartered Surveyor, United Kingdom, Jabatan Perkhidmatan Awam serta Bahagian Penilaian Kualiti bagi Silibus Pembelajaran Juruukur Bangunan oleh Kementerian Pelajaran.

Dengan ini, Juruukur Bangunan memang layak menjalankan kerja kawalan pembinaan dan pemeriksaan bangunan bagi mengesyorkan keutuhan dan integriti serta pematuhan undang-undang bangunan, pengurusan prestasi dan memeriksa fabrik, komponen, servis dan keadaan bangunan.

Juruukur Bangunan juga boleh memeriksa keperluan keselamatan, menasihati kerja perubahan, penyelenggaraan bangunan, penambahbaikan, pemuliharaan bangunan, keperluan insurans dan pengurusan guna ruang.

Silibus pengajian jurusan Ukur Bangunan di Malaysia diadaptasi sepenuhnya daripada Royal Institute of Chartered Surveyor, United Kingdom dengan mengambil kira sistem perundangan, iklim dan bentuk muka bumi setempat.

Pengkhususan jurusan Ukur Bangunan adalah dalam aspek kawalan bangunan, termasuk penyelenggaraan bangunan. Jika negara maju seperti United Kingdom, Eropah, Australia, New Zealand, Hong Kong dan Jepun sudah lama memberi pengiktirafan serta kepercayaan kepada profesion Juruukur Bangunan bagi menjalankan kerja kawalan bangunan, termasuk kerja penyelenggaraan, kenapa Malaysia tidak mahu mencontohi mereka sedangkan industri pembinaan negara sememangnya berpandukan United Kingdom?

Saya berharap kerajaan membuat penyelidikan mengenai peranan dan kepentingan Juruukur Bangunan di negara maju bagi memastikan bangunan dapat dibina dengan sempurna serta mampu membimbing masyarakat untuk membudayakan penyelenggaraan bangunan.

Saya juga berharap kebolehan Juruukur Bangunan ini perlu dimanfaatkan agar tahap kualiti pembinaan dan penyelenggaraan bangunan negara dipertingkatkan setaraf standard negara maju berkenaan.

AHMAD FAUZI MD SOOD,
Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

0 Comments:

Post a Comment