Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Pensyarah IPTA dan Latihan Praktikal

SUMBER DARI UTUSAN MALAYSIA


Pensyarah IPTA wajib jalani latihan industri

KUALA LUMPUR 4 Jun – Semua pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diwajibkan menjalani latihan industri sebagai langkah memberi pendedahan serta mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran.

Mengikut cadangan Kementerian Pengajian Tinggi, para pensyarah berkenaan perlu mengikuti latihan itu dalam tempoh terdekat ini atau pada setiap kali cuti semester.

Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed berkata, latihan industri itu penting bagi mendedahkan para pensyarah cara kerja sebenar dalam industri.

Katanya, sebelum ini, pensyarah dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat sudah menjalani latihan seperti itu tetapi ia perlu diperkukuhkan lagi pada masa akan datang.

‘‘Semua pensyarah perlu mengambil peluang ini. Industri yang berkembang maju sekarang ini menuntut kita untuk berubah dan berada di hadapan serta menuntut para pensyarah mendalami bidang pengajian masing-masing sebelum mengajar.

‘‘Kita mahu latihan industri ini menjadi amalan biasa oleh semua pensyarah dan ia perlu dimantapkan lagi dari semasa ke semasa, jika tidak kita akan ketinggalan’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis dialog IPTA/IPTS bersama media di Wisma Bernama di sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Bernama, Datuk Azman Ujang.

Majlis dialog itu turut dihadiri 39 peserta yang terdiri daripada naibnaib canselor, dekan-dekan pengajian, para pensyarah, pengamal media dan para pelajar IPTA.

Dalam pada itu, Mustapa memberitahu, rumusan daripada dialog hari ini, pihaknya meluluskan penubuhan Lembaga Penasihat Industri Media yang akan dianggotai oleh pengamal media tempatan, IPTA dan IPTS.

Katanya, penubuhan lembaga itu adalah untuk memantapkan lagi kurikulum pengajian media di IPTA dan IPTS agar bertepatan dengan keperluan industri media tempatan waktu ini.

‘‘Kita mahu merapatkan jurang perbezaan antara IPTA dan IPTS dengan media tempatan.

‘‘Masalah ini perlu diselesaikan dengan segera kerana pengamal-pengamal media sekarang memberi maklum balas negatif terhadap graduan IPTA yang didapati tidak menepati kehendak pasaran kerja,’’ ujarnya.

0 Comments:

Post a Comment