Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

PAC Iktiraf Kebolehan Juruukur Bangunan

PAC Iktiraf Kebolehan Juruukur Bangunan

Sr. Ahmad Fauzi Bin Md Sood


Assalamualaikum...syukur kita pada Allah kerana dengan izinNYA pembentangan kertas kerja yang bertajuk ' Peranan Juruukur Bangunan Untuk Membudayakan Penyelenggaraan Di Dalam Industri Binaan Dan Pengurusan Bangunan' oleh wakil Juruukur Bangunan dari Universiti Malaya pada 21/06/07 di Bilik Jawatankuasa 1, Bangunan Parlimen (Jam 11.30 pagi) telah berjaya mencapai objektif apabila Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) YBhg Dato' Shahrir Samad bercadang untuk menempatkan seorang Juruukur Bangunan bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan keatas bangunan parlimen dalam masa terdekat ini.

Kenyataan YBhg Dato' Shahrir Samad ini boleh dirujuk pada kenyataan beliau dalam akhbar Berita Minggu & Mingguan Malaysia bertarikh 24/06/07.

Salam Perjuangan untuk Profesion Juruukur Bangunan...Sr.Ahmad Fauzi Bin Md Sood

Akhbar Mingguan Malaysia

JOHOR BAHARU 23 Jun – Langkah kerajaan melaksanakan pembinaan bangunan berdasarkan konsep reka dan bina atau secara rundingan terus dikenal pasti sebagai punca mengapa bangunan kerajaan menghadapi masalah penyelenggaraan, daripada kebocoran paip kepada keretakan struktur.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) Datuk Shahrir Abdul Samad berkata konsep reka dan bina atau rundingan terus yang dilaksanakan ketika ini mewujudkan konflik kepentingan di antara juru perunding dan kontraktor pembinaan bangunan.

“Jika pembinaan bangunan itu dilaksanakan secara tender terbuka, check and balance di antara juru perunding dan kontraktor pembinaan adalah lebih ketat berbanding konsep reka dan bina atau rundingan terus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan surat tawaran kelulusan permit teksi kepada 185 pemandu teksi anjuran Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di sini hari ini.

Konflik kepentingan antara juru perunding dan kontraktor wujud di dalam konsep reka dan bina atau rundingan terus dalam pembinaan bangunan kerajaan disebabkan juru perunding menerima bayaran dari kontraktor yang membina bangunan itu, katanya.

Shahrir, yang juga anggota Parlimen Johor Baharu, berkata demikian sebagai mengulas tentang kejadian kebocoran paip dan keretakan struktur pada bangunan-bangunan baru kerajaan seperti hospital dan mahkamah.

Kejadian terbaru melibatkan kebocoran paip di Hospital Pekan bernilai RM90 juta yang baru sahaja diserahkan kepada Kementerian Kesihatan pada 27 Mac lepas oleh Jabatan Kerja Raya.

Shahrir berkata mereka yang sepatutnya melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan adalah juru ukur bangunan bukannya arkitek atau jurutera sivil.

Langkah Kementerian Kerja Raya melantik juru ukur bangunan sebagai orang yang bertanggungjawab memantau aspek penyelenggaraan bangunan-bangunan kerajaan adalah tepat, katanya.

Ketika ini, terdapat lebih 2,000 juru ukur bangunan di Malaysia, termasuk yang berkelulusan dalam dan luar negeri dan kepakaran mereka perlu digunakan untuk memastikan bangunan-bangunan di negara ini sentiasa diselenggara dengan baik.

– Bernama

Akhbar Berita Minggu

PAC syor perunding projek dilantik kerajaan


JOHOR BAHRU: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpendapat kaedah reka dan bina serta pemberian tender secara terus kepada kontraktor menyebabkan berlakunya pelbagai masalah yang dihadapi bangunan kerajaan pada masa ini.

Pengerusinya, Datuk Shahrir Samad, berkata ia disebabkan jururunding yang diambil untuk pembinaan bangunan berkenaan bukan mewakili kerajaan, sebaliknya bekerja dengan kontraktor menyebabkan berlakunya konflik kepentingan.

Sehubungan itu, katanya, lebih baik juru perunding yang dilantik mewakili kepentingan kerajaan bukan bekerja dengan kontraktor kerana ia tidak dapat memberikan perkhidmatan dengan telus bagi memastikan setiap spesifikasi bangunan berkenaan dipatuhi.

"Saya rasa Kabinet mengetahui mengenai masalah ini, dan PAC berpendapat hanya dengan pemberian tender secara terbuka dan juru perunding projek dilantik sendiri kerajaan, baru masalah bangunan kerajaan rosak sebaik selepas pembinaan dapat diatasi," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu bangunan kerajaan yang rosak sebaik saja siap untuk beroperasi.

Antara bangunan kerajaan yang dilaporkan mengalami masalah berkenaan ialah Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta dan Hospital Pekan, Pahang.

Shahrir berkata, walaupun mengikut perjanjian, kontraktor perlu menanggung semua kos kerosakan dalam tempoh setahun selepas beroperasi, tetapi masalah berkenaan tetap memerlukan penyelesaian kerana ia menjejaskan imej kerajaan.

"Takkan semua bangunan kerajaan yang baru siap dalam tempoh setahun selepas pembinaan perlu dibaiki, sudah tentu ia menjejaskan imej kerajaan," katanya.

Beliau berkata, masalah tuduh menuduh antara kementerian tidak dapat menyelesaikan masalah terbabit, sebaliknya hanya menimbulkan rasa dangkal di kalangan rakyat kerana menunjukkan seolah-olah dua kementerian bertanggungjawab terhadap bangunan terbabit tidak boleh bekerjasama.

Sementara itu, Shahrir berkata, kerajaan bersetuju menempatkan dua jurutera di Parlimen bagi memantau aspek penyelenggaraan bagi mengelakkan berlaku masalah hingga menjejaskan imej institusi berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, PAC akan meminta kerajaan supaya satu daripada jawatan berkenaan diberikan kepada juru ukur bangunan kerana golongan berkenaan lebih berkemahiran dalam aspek penyelenggaraan berbanding jurutera.

"Kita tidak faham mengapa kepakaran juru ukur bangunan tidak digunakan sepenuhnya di negara ini, sedangkan mereka berkemahiran dalam aspek penyelenggaraan dan negara melahirkan lebih 2,000 juru ukur bangunan setiap tahun dari universiti tempatan," katanya.

0 Comments:

Post a Comment