Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Mutu profesional elak bangunan rosak


Mutu profesional elak bangunan rosak
Sumber dari Berita Harian 15 Jun 2007

KESAN daripada beberapa kejadian ke atas bangunan kerajaan, Kementerian Kerjaraya kini berusaha mempertingkatkan tahap pemantauan projek khususnya dalam aspek kualiti pembinaan dan penyelenggaraan dengan mewujudkan Bahagian Juruukur Bangunan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).


Situasi ini jelas menunjukkan tahap kematangan kementerian berkenaan bagi memulihkan imej JKR dalam menangani kes kerosakan bangunan terutama bagi bangunan baru siap dibina.

Segala usaha itu pasti memberi banyak faedah kepada bangunan kerajaan, namun bagaimana pula nasib bangunan milik persendirian yang dibina oleh pemaju? Siapakah yang berkelayakan serta mampu mewakili mereka bagi memantau tahap kualiti pembinaan yang dilakukan oleh pemaju ke atas hartanah yang dibeli?

Pelaksanaan konsep ‘Bina dan Jual’ oleh kerajaan dalam masa terdekat ini pasti dapat mengatasi masalah rumah terbengkalai serta pembeli yang teraniaya oleh pemaju tidak bertanggungjawab memang tepat pada masanya.

Untuk memastikan kepentingan pembeli hartanah sentiasa dijaga, kewujudan Akta Juruukur Bangunan perlu dipercepatkan. Ia bertujuan untuk memastikan peranan Juruukur Bangunan diperluaskan ke peringkat kepentingan awam.

Tindakan kerajaan mempertingkat sistem penyampaian awam memang dialu-alukan, namun ia mesti dibuat secara menyeluruh agar seluruh rakyat menerima faedah yang sama tanpa mengira status bangunan yang dibina.

Perkhidmatan Juruukur Bangunan ini sebenarnya tidak akan menambah atau menyebabkan beban kewangan kepada pemilik bangunan. Pendapat ini diutarakan kerana sebahagian besar perkhidmatannya melalui perkhidmatan dengan kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama untuk menyemak dan memastikan pihak tertentu yang terbabit dalam pembinaan mematuhi arahan kerajaan, undang-undang, piawaian dan peraturan yang ditetapkan.

Antara faedah yang boleh diperoleh oleh masyarakat umum, pengguna dan pemilik bangunan apabila mendapat perkhidmatan Juruukur Bangunan adalah seperti berikut:

l Menghindari pembeli bangunan daripada mendapat bangunan rosak dan tidak mengikut piawaian atau syarat yang ditetapkan oleh undang-undang ataupun kontrak jual beli.

l Mewakili dan melindungi hak pembeli dalam rundingan pembelian atau pemilikan sesuatu hartanah atau bangunan supaya semua syarat jual beli diteliti terutama berkaitan keadaan bangunan, kerosakan, keadaan lapuk dan kewajaran harganya.

l Berkebolehan dalam menjalankan tugas penyiasatan bangunan dari semasa ke semasa, berkala atau secara panggilan bagi menentukan tahap keselesaan, kesihatan dan keselamatan penghuni/pengguna bangunan terjamin.

l Menasihati dan memberi maklum balas mengenai langkah pencegahan penyenggaraan dalam reka bentuk dan mengesyorkan kesesuaian bahan binaan.

l Membantu dalam mempercepat proses kelulusan pelan bangunan dan mewakili kerajaan dalam menyemak Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) yang dikeluarkan oleh arkitek/jurutera untuk tujuan pengesahan.

Kini profesion Juruukur Bangunan mula dikenali umum dan ia juga melalui proses pengiktirafan kerajaan sebaik saja Datuk Seri S Samy Vellu menyatakan Akta Juruukur Bangunan akan diwujudkan dalam masa terdekat.

Situasi ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan bersedia membuat satu perubahan drastik bagi mengatasi segala kelemahan dalam sistem pemantauan projek pembinaan dan penyelenggaraan bangunan yang sekian lama diamalkan di negara ini.

Bagaimanapun, cadangan untuk meletakkan Akta Juruukur Bangunan di bawah akta tertentu perlu dielakkan kerana ia akan menyekat profesion ini daripada menjalankan tanggungjawab serta peranannya secara telus dan berkesan.

Pertimbangan yang sewajarnya perlu diberikan agar Akta Juruukur Bangunan ini dapat diwujudkan secara berasingan daripada akta lain kerana skop kerja serta profesion mereka berbeza di antara satu sama lain.

Profesion Juruukur Bangunan adalah pelengkap kepada profesion lain seperti Arkitek, Perancang, Jurutera, Juruukur Bahan, Juruukur Tanah dan Jurunilai Hartanah dalam melaksanakan sesuatu projek pembangunan hartanah.

AHMAD FAUZI MD SOOD,
Taman Desa Sena, Tasek Gelugor.

0 Comments:

Post a Comment