Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

EN Md Yusof Bertindak!!!


Sumber dari Berita Harian 29.MEI.2007
Senggaraan Bangunan Tak Boleh Dikompromi
Oleh Md Yusof Hamid

KELUHAN dan kekecewaan Perdana Menteri berkaitan pengurusan penyelenggaraan bangunan kerajaan yang disiarkan oleh akhbar menarik perhatian saya yang melanjutkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (bidang penyelenggaraan bangunan) di Universiti of Salford, United Kingdom.
Walaupun jauh dari tanah air, saya dapat berasakan keluh kesah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai isu penyelenggaraan bangunan kerajaan di negara kita. Isu ini bukanlah isu baru, malah isu yang berlarutan sejak kejadian runtuhan bangunan kondominium Highland Towers, struktur bumbung runtuh di Pularek dan beberapa kejadian lain yang membimbangkan kita.Kita sudah sepatutnya belajar daripada semua kejadian ini dan berusaha membaiki mutu bangunan. Aspek penyenggaraan bangunan perlu dititikberatkan sebelum bangunan dibina lagi, malah pada peringkat reka bentuk perlu ada pandangan dan penyertaan pihak profesional seperti juruukur bangunan yang bertanggungjawab mengurus dan menyelenggara bangunan selepas siap.Proses ini menjadi amalan di negara maju, yang penyenggaraan di bawah pengurusan fasiliti diberi penekanan yang lebih sebelum bangunan dibina. Aspek pemantauan diteruskan lagi ketika proses pembinaan bagi memastikan kontraktor mematuhi spesifikasi bangunan yang ditetapkan oleh arkitek. Segala percanggahan dengan spesifikasi yang ditetapkan perlu diperbetulkan tanpa kompromi bagi menjamin kualiti bangunan yang dibina. Pembabitan pengurusan kemudahan ini berterusan lagi selepas bangunan dibina dan pihak yang bertanggungjawab memastikan bangunan diselenggara dengan sempurna. Aspek lain yang diberi penekanan dalam pengurusan fasiliti ini ialah pengurusan yang memastikan kelangsungan kehendak pengguna bangunan dengan objektif organisasi. Sebagai contoh, jika bangunan mengalami masalah seperti kejadian bumbung runtuh di pejabat kerajaan tempoh hari, maka ia akan menjejaskan perkhidmatan dan urusan organisasi pada masa berkenaan. Kerugian yang ditanggung, tempoh perkhidmatan yang tergendala kepada pelanggan dan imej organisasi akan terjejas akibat masalah ini. Bagi swasta, ia membabitkan kerugian yang lebih ketara kerana mempunyai kaitan dengan perniagaan dan pelaburan, malah akan membolehkan syarikat ditutup jika masalah ini tidak ditangani lebih awal. Profesion yang berkaitan dengan pengurusan fasiliti dan bidang penyelenggaraan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak bagi memastikan kejadian sebegini tidak berulang. Pelaksanaan skim perkhidmatan juruukur bangunan di dalam perkhidmatan kerajaan perlu dipertingkatkan lagi. Buat masa ini beberapa organisasi mempunyai skim perkhidmatan ini seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan beberapa organisasi lain di pihak swasta. Sudah sampai masa negara kita mengorak langkah seperti Singapura yang mempunyai perkhidmatan juruukur bangunan dan pengurusan fasiliti yang setaraf dengan negara maju seperti di Hong Kong, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Pemeriksaan bangunan yang dicadangkan dan diwajibkan bagi semua bangunan kerajaan adalah wajar dan ia harus dilaksanakan secara berkala, misalnya setiap tiga atau lima tahun sekali bagi memastikan keadaan bangunan berada di dalam keadaan baik dan yang penting menjamin keselamatan penghuni bangunan. Pemeriksaan keadaan bangunan diperlukan bagi mengukur keadaan bangunan bagi maksud kerja pembaikan dan perancangan kerja penyenggaraan pada masa akan datang. Pemeriksaan keadaan bangunan adalah salah satu prasyarat dalam penyediaan sistem penyenggaraan bangunan secara terancang. Perkara ini mula diberi perhatian oleh negara di Eropah Selatan yang manfaat daripada sistem penyenggaraan sistematik mula diakui dan dilaksanakan oleh kerajaan dan galakan diberikan bagi penubuhan institusi profesional bertujuan mengkaji perkara ini.Aspek pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan bangunan ini perlu difahami dan dipertingkatkan lagi selaras dengan arahan Perdana Menteri yang mahukan bangunan diselenggara dengan sempurna bagi menjamin aset negara pada masa depan.

0 Comments:

Post a Comment