Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Debat boleh jadi teras bina sahsiah


SUMBER BERITA HARIAN
18 jun 2007

SHAH ALAM: Generasi muda perlu menjadikan pertandingan debat sebagai platform membina sahsiah dan ketokohan sebagai pemimpin yang mampu menggalas cabaran serta hala tuju perpaduan dan pembangunan negara pada masa depan.

Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, berkata pembabitan mereka dalam pertandingan sebegitu membantu dalam membentuk masyarakat yang bijak berhujah, matang, liberal dan mempunyai sikap toleransi yang tinggi.

“Kalau kita lihat pemimpin dulu dan sekarang, semuanya mempunyai kemampuan berhujah, berdebat dengan baik dan daya intelek tinggi sehingga mereka dipilih menjadi wakil kepada rakyat.

“Karisma dan kepemimpinan mereka perlu diteladani generasi muda sebagai mendokong cita-cita dan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang mengimpikan apabila negara merayakan 100 tahun kemerdekaannya pada 2057, rakyat dan bangsa Malaysia akan mencapai kejayaan yang tidak pernah difikirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan merasmikan Pertandingan Akhir Debat Merdeka Komuniti Bestari 2007 Kumpulan 1, peringkat kebangsaan, di sini, semalam. Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil.

Ahmad Zahid berkata, beliau berharap melalui debat merdeka dengan tema ‘50 tahun: Negaraku Gagah Gemilang’ yang diadakan itu dapat melahirkan generasi masa depan yang bersatu padu, saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.

“Kekukuhan dan keakraban terjalin akan menjadi benteng untuk mempertahankan negara daripada sebarang ancaman, pengaruh dan pencerobohan pada masa depan.

“Perbezaan kaum, budaya dan agama dikalangan rakyat Malaysia bukanlah halangan untuk bersatu sebaliknya menjadi pengikat untuk hubungan masyarakat yang lebih kukuh,” katanya.

Beliau berkata, kekejaman rejim Zionis ke atas Lebanon dan Palestin sehingga rakyat negara terbabit menderita perlu menjadi pengajaran kepada masyarakat.


ULASAN:
Pada pendapat editor ia merupakan satu teguran yang bagus untuk generasi muda dalam merobah sahsiah diri kepada yang lebih sempurna.Namun seharusnya debat itu tidak tertakluk juga pada pertandingan semata-mata tapi harus di semai dalam jiwa seharian setiap generasi muda.Tidak dinafikan ada beberapa faktor penghalang yang menjadikan generasi muda terutamanya golongan siswa/siswazah terhalang dari bersuara.
Jadi kita harus berbalik pada Pembangunan Modal Insan supaya secara langsung dapat mengembalikan jiwa-jiwa yang bebas,bermaruah,intelektual,berdisiplin dan bijak bersuara.


dari Insan Ukur Bangunan
(Mantan timbalan presiden MPP ipts suatu ketika dulu)

0 Comments:

Post a Comment