Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Buat tatapan tuan-puan,saudara,saudari,dan sebagainya


Sila klik ::> RUMAH SEWA DI UITM SHAH ALAM


Sila klik ::> Kita Renungkan Kepimpinan Adolf Hitler


"Ditujukan khas kepada mereka yang duduk dikerusi 'kerajaan' ukur bangunan"

Amanah berkesan jadi mutu piawaian ummah

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Sumber dari Berita Harian

AMANAH adalah antara sifat terpuji Islam anjurkan kepada setiap Muslim. Malah, ia adalah penentu atau garisan pemisah kepada keimanan dan keagamaan individu. Ini ditegaskan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Tiada iman bagi yang tidak memegang amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak dapat dipegang janjinya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Dailami)

Jelas diterangkan dalam hadis itu bahawa orang yang tidak menghiasi dirinya dengan sifat amanah atau tidak dipercayai ramai dalam memegang sesuatu amanah serta melakukan khianat kepada umat manusia bererti dia bukan orang yang benar-benar beriman kepada Allah.

Dalam hal ini, Islam memerintahkan kepada setiap Muslim supaya sentiasa beramanah dalam setiap masa dan tempat kerana itulah ciri keperibadian Islam yang sebenarnya.

Dalam al-Quran ada banyak ayat suci yang menuntut setiap Muslim bersifat amanah. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah itu sentiasa Maha Mendengar lagi sentiasa Maha Melihat.” (Surah al-Nisa’, ayat 58)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bahawa sifat amanah itu bertunjang di hati sanubari manusia, kemudian al-Quran diturunkan maka hatinya yang bertunjangkan amanah itu akan mempelajari al-Quran dan al-Sunnah.” (Hadis riwayat Muslim)

Sifat amanah ini sebenarnya mengungkap pengertian sangat luas dan mendalam. Ia bukan sekadar membawa erti bersikap jujur dan benar dalam urusan kehidupan, malah merangkumi setiap tanggungjawab atau tugas yang perlu ditunai membabitkan segenap lapisan manusia yang terdiri daripada pemimpin, rakyat, ibu bapa, anak dan individu Muslim itu sendiri.

Sehubungan itu, Islam daripada awal lagi menyerahkan amanah dan tanggungjawab setiap individu terhadap Allah seperti dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap rakyat yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pelindung kepada ahli keluarganya dan bertanggungjawab terhadap tanggungannya. Seorang perempuan di rumah suaminya adalah penjaga dan bertanggungjawab terhadap jagaannya, begitu juga seorang khadam sebagai penjaga amanah harta tuannya dan bertanggungjawab terhadap jagaan di bawahnya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Bertolak daripada itu, dapatlah difahami sifat amanah dalam Islam mempunyai pengertian luas dan berat. Ia adalah satu tanggungjawab yang akan dipersoal oleh Allah nanti sama ada kita betul-betul melaksanakannya ataupun sebaliknya.

Sebab itulah Islam meletakkan kriteria amanah sebagai prasyarat utama pemimpin kepada umat manusia keseluruhannya. Sebagai contohnya, Rasulullah ketika remajanya sebelum dibangkitkan menjadi pesuruh Allah adalah seorang pemuda yang beramanah sehingga digelar ‘al-Amin’.

Begitu juga dapat disaksikan sifat amanah pada peribadi Nabi Musa ketika Baginda membantu dua orang gadis memberi minum ternakan mereka. Pengajaran yang terselit daripada kisah itu, utusan Allah dipilih kalangan semulia-mulia manusia daripada peribadinya, keturunannya dan tabiatnya.

Inilah hakikat sifat amanah yang dianjurkan Islam kepada umatnya. Dalam hal ini, pemimpin sewajarnya bersifat amanah dan jujur dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat kerana ia termasuk sebahagian daripada pengertian amanah dalam Islam.

Oleh itu, seseorang pemimpin dilarang sama sekali mengamalkan kronisme, nepotisme dan juga rasuah serta mengeksploitasi jawatannya untuk kepentingan peribadinya dalam urusan pentadbiran.

Bahkan, pemimpin dilarang mengamalkan perasaan pilih kasih atau hubungan kerabat kerana ia termasuk dalam erti perbuatan khianat yang terlarang.

Rasulullah SAW memberi amaran keras kepada pemimpin seumpama itu dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa ada melantik seseorang untuk mengetuai sesuatu kumpulan sedangkan ada orang lain yang lebih layak daripadanya di sisi Allah, sesungguhnya dia mengkhianati Allah dan Rasul-Nya serta orang mukmin seluruhnya.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Selanjutnya, seorang kontraktor, arkitek dan pihak terbabit sepatutnya bertanggungjawab serta amanah dalam urusan kerja mereka terutama dalam aspek pembinaan rumah dan bangunan yang menjadi keperluan penting dalam kehidupan manusia.

Justeru, proses pembinaan sewajarnya mengambil kira segala aspek keselamatan dan piawaian yang ditetapkan supaya tidak menimbulkan masalah pada masa depan. Jika tidak, berlakulah masalah kebocoran siling, atap, keretakan dinding dan pelbagai masalah yang dilaporkan.

Timbul persoalan ke manakah hilangnya sifat amanah dan integriti yang seharusnya menjadi perhiasan wajib bagi setiap umat manusia.

Pelbagai kurniaan dan nikmat Allah anugerah kepada kita juga termasuk dalam pengertian amanah. Segala nikmat yang Allah berikan seperti harta benda, anak pinak, pancaindera adalah amanah yang amat berharga dan sewajarnya digunakan sebaiknya untuk meraih keredaan Ilahi.

Sebenarnya semua itu adalah milik Allah yang dipinjamkan dan dipertanggungjawabkan sementara kepada kita untuk menguruskan sesuai kedudukan kita sebagai khalifah Allah di bumi ini.

Allah berfirman yang maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Jangan kamu mengkhianati Allah dan Rasul-Nya dengan menyalahgunakan segala amanah yang diberikan Allah kepada kamu sedangkan kamu sedar dan mengetahui. Hendaklah kamu ingat bahawa harta benda dan anak-anak kamu itu hanyalah dugaan dan ujian semata-mata. Sesungguhnya di sisi Allah ganjaran pahala yang amat besar.” (Surah al-Anfal, ayat 27-28)

Dalam konteks rumah tangga, suami isteri perlu memelihara rahsia rumah tangga dan jangan sama sekali membiarkan atau mendedahkan kepada orang lain akan rahsia rumah tangga. Perbuatan mendedahkan rahsia rumah tangga dilarang oleh Rasulullah kerana rahsia rumah tangga termasuk antara pengertian amanah.

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: “Sesungguhnya antara sebesar-besar amanah di sisi Allah pada hari kiamat nanti ialah seorang suami bermesra dengan isterinya kemudian si suami menghebahkan rahsia isteri.” (Hadis riwayat Muslim)

Akhirnya, Rasulullah SAW memberi peringatan keras kepada umat Islam mengenai berlakunya kepupusan sifat amanah dalam masyarakat satu masa nanti. Malah, Baginda mengingatkan yang demikian adalah tanda kecil Hari Kiamat yang berlaku pada akhir zaman.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bilakah akan berlaku kiamat? Jawab Rasulullah: Apabila sifat amanah hilang maka tunggulah hari kiamat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

0 Comments:

Post a Comment