Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

Kenaikan gaji terbaik

Kakitangan kerajaan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi selepas beliau mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam pada Perhimpunan Hari Pekerja 2007 Sektor Awam di PICC, Putrajaya, semalam.

Oleh Rozaman Ismail (Utusan Malaysia 22 Mei 2007)

PUTRAJAYA 21 Mei – Kerajaan hari ini mengumumkan berita gembira yang disifatkan sebagai ‘terbaik dalam sejarah perkhidmatan awam’ apabila memberi kenaikan gaji antara 7.5 hingga 35 peratus kepada kakitangannya berkuat kuasa 1 Julai ini.
Bagi anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia pula, mereka menerima durian runtuh yang lebih istimewa iaitu kadar kenaikan gaji antara 9 hingga 42 peratus, iaitu 20 peratus lebih tinggi daripada peratus kenaikan gaji kakitangan awam lain.
Selain pemberian kenaikan gaji pokok, kerajaan turut mengumumkan kenaikan Elaun Kos Sara Hidup (COLA) sebanyak 100 peratus bagi menampung kos hidup kakitangan awam yang tinggal di bandar-bandar besar.
Dalam pengumuman yang turut menggembirakan lebih 557,000 pesara kerajaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kenaikan itu juga melibatkan kenaikan pencen bekas kakitangan awam.
Sebanyak 1.02 juta kakitangan awam terlibat dalam eksesais yang dikenali sebagai ‘pemberian kenaikan gaji’ itu. Ia bukan satu semakan gaji.
Kenaikan gaji itu melibatkan perbelanjaan RM3.4 bilion bagi tahun ini atau perbelanjaan tambahan sebanyak RM6.8 bilion setahun.
Peningkatan kadar COLA pula melibatkan perbelanjaan tambahan sebanyak RM600 juta bagi tahun ini atau RM1.2 bilion setahun.
Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri ketika berucap pada Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Pengumuman tersebut disambut dengan tepukan gemuruh kakitangan awam yang memenuhi dewan berkenaan. Kata-kata “Hidup Pak Lah!” dilaungkan secara spontan oleh hadirin dalam dewan itu tanda terima kasih atas pemberian tersebut.
Kali terakhir semakan gaji kakitangan awam dilakukan ialah pada 1992 dengan kenaikan gaji sebanyak lapan peratus, manakala pelarasan terakhir gaji sektor awam dibuat pada 2000.
Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dalam satu memorandum kepada Perdana Menteri pada 11 Januari lalu menuntut kerajaan membuat semakan gaji dengan kenaikan antara 20 hingga 40 peratus.
Presidennya, Omar Osman dalam reaksinya berkata: ‘‘Kita berasa amat gembira, walaupun kurang lima peratus (berbanding tuntutan asal 40 peratus) tetapi kita tetap bersyukur. Kenaikan elaun COLA sehingga RM300 sudah memadai.”
Beliau yang berada di atas pentas bersama-sama Abdullah semasa pengumuman itu dibuat di PICC menyifatkan kenaikan tersebut sebagai kenaikan gaji terbaik dalam sejarah perkhidmatan awam.
Beliau yakin sokongan kakitangan awam terhadap kerajaan semakin kuat.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menteri-menteri Kabinet serta para pegawai kanan kerajaan.
Abdullah berkata, keputusan menaikkan gaji sektor awam dibuat setelah beliau memperhalusi beberapa faktor, antaranya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang baik dalam tempoh lima tahun lalu iaitu sebanyak 5.6 peratus purata setahun.
Katanya, pertumbuhan itu juga didorong oleh pertumbuhan pelaburan swasta termasuk pelaburan langsung asing (FDI) serta perkembangan dagangan Malaysia yang melebihi nilai RM1 trilion setahun.
‘‘Pertumbuhan ini telah memungkinkan keadaan (ekonomi yang baik) yang mana kadar faedah, kadar inflasi dan kadar pengangguran kekal rendah.
‘‘Indeks Komposit Bursa Malaysia juga membayangkan kepesatan ekonomi negara dengan mencapai tahap yang paling tinggi baru-baru ini,” kata beliau dalam ucapannya pada majlis itu yang dihadiri kira-kira 6,000 kakitangan awam.
Menurut Perdana Menteri, pertumbuhan ekonomi negara hasil usaha sektor swasta turut didukung usaha sektor awam sebagai pelaksana dasar, fasilitator dan penguat kuasa undang-undang.
Faktor kedua pula, kata Abdullah, ialah keperluan untuk menarik serta mengekalkan modal insan yang berkelayakan, berprestasi tinggi dan bermotivasi dalam sektor awam.
Motivasi
‘‘Pekerja sektor awam perlu diberi motivasi untuk terus meningkatkan produktiviti,” tegasnya.
Beliau berkata, faktor ketiga yang mendorong kenaikan gaji sektor awam ialah peningkatan kos sara hidup akibat kenaikan harga minyak dunia menjadikan kerajaan prihatin terhadap nasib kumpulan berpendapatan rendah.
Kata Abdullah, faktor keempat ialah kemampuan kewangan kerajaan yang mana kutipan cukai negara bertambah dengan ketara, manakala keberkesanan perbelanjaan dapat dipertingkatkan.
‘‘Dalam memutuskan kenaikan gaji, kerajaan sentiasa berjaga-jaga akan kesannya kepada kewangan negara. Sebarang kenaikan gaji akan juga melibatkan pencen serta elaun-elaun tertentu.
‘‘Dengan itu kuantum kenaikan diputuskan secara cermat dan berhemat. Kerajaan berjaya mengurangkan defisit perbelanjaan kerajaan daripada 5.3 peratus pada 2003 kepada 3.5 peratus tahun lalu dan pengurusan fiskal berhemat ini akan diteruskan,” katanya.
Menurut Perdana Menteri lagi, kenaikan tersebut akan dapat meringankan beban yang dirasai anggota sektor awam terutama mereka yang berada dalam kumpulan terendah.
Pada masa yang sama, kata beliau, semua pegawai dan kakitangan sektor awam perlu sedar bahawa dengan kenaikan gaji itu harapan seluruh rakyat serta kerajaan terhadap mereka akan meningkat.
‘‘Harapan untuk melihat mutu perkhidmatan yang terbaik, yang setimpal dengan kenaikan gaji, akan dirasai secara umum. Gunakanlah peluang ini untuk terus meningkatkan produktiviti serta mutu perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Secara amnya kenaikan itu melibatkan:
Kumpulan Sokongan 2 iaitu Gred 1 hingga 16, gaji pokok dinaikkan sebanyak 35 peratus.
Kumpulan Sokongan 1 iaitu Gred 17 hingga 40 menerima kenaikan sebanyak 25 peratus.
Kumpulan Pengurusan dan Profesional pula akan menikmati kenaikan sebanyak 15 peratus.
Kumpulan Pengurusan Tertinggi (JUSA) mendapat 7.5 peratus.
Kerajaan juga memberi kenaikan tambahan 20 peratus kepada anggota-anggota Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia di atas peratusan kenaikan gaji kakitangan awam.

0 Comments:

Post a Comment