Enter a URL to visit via proxy:

Powered by Buildingsurvey
Google

JKR perlu juruukur bangunan


Oleh: AIDA AFFINA (SUMBER DARI UTUSAN MALAYSIA)


MASIH ingatkah lagi para pembaca mengenai isu seorang guru malang yang terbunuh akibat terpijak lantai di tingkat atas sebuah sekolah yang usang dan rapuh pada satu ketika dahulu? Juga beberapa isu kerosakan dan kecacatan bangunan yang berlaku tidak lama dulu?
Ini pastinya dapat dielakkan jika pihak berkenaan mengadakan pemeriksaan struktur bangunan mereka. Kesemua perkara di atas adalah berpunca daripada pengabaian kerja-kerja penyelenggaraan.
Semenjak kejadian tersebut berlaku, bertubi-tubi keluhan serta cadangan dilontarkan bagi mengatasi masalah berkenaan daripada bermacam-macam pihak. Walhal, sebelum ini tiada satu pihak pun yang tampil berminat dengan isu penyelenggaraan ini sehinggalah ia menjadi semakin serius dan ketara sekarang.
Rupanya itu bukanlah klimaks bagi isu penyelenggaraan. Kita kini dihujani dengan berbagai lagi kejadian seumpama itu bermula dari keruntuhan siling di ibu pejabat Imigresen dan dewan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Putrajaya serta Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Dan kes yang terbaru adalah kebocoran di Parlimen.
Kes-kes yang melibatkan bangunan-bangunan kerajaan dan kemudahan awam yang lain, pastinya adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR). Tetapi persoalannya, siapakah yang berkelayakan untuk memantau kerja-kerja penyelenggaraan ini? Ingin ditegaskan juga di sini, kerja-kerja penyelenggaraan bangunan bukan sahaja hanya mekanikal dan elektrikal sahaja seperti lif, elektrik, penghawa dingin tetapi merangkumi struktur dan envelope bangunan itu sekali.
Setakat memantau sahaja, rasanya semua tenaga profesional seperti jurutera-jurutera di JKR boleh diberikan tanggungjawab ini.Namun, mahukah kita membebankan mereka lagi dengan tanggungjawab ini? Kita arif dengan tugas hakiki seorang arkitek ialah untuk mereka bentuk sesebuah bangunan, seorang jurutera awam dengan tugasnya adalah memastikan struktur bangunan yang direka mampu menampung beban hidup dan mati serta jurutera yang bertanggungjawab mereka bentuk litar elektrik dan kemudahan di dalam premis bangunan.
Dan persoalannya tadi ialah siapa yang layak memikul tugas penyelenggaraan ini? Pada pendapat saya, untuk lebih efektif lagi, saya rasa JKR seharusnya mempunyai seorang Juruukur bangunan (building surveyor).Untuk pengetahuan umum, juruukur bangunan ini tidaklah terlalu baru di Malaysia (sudah lebih 10 tahun) cuma disebabkan oleh birokrasi dan beberapa halangan, ia tidak begitu dikenali berbanding profesional seangkatan dengannya seperti juruukur bahan, juruukur tanah, penilai hartanah, arkitek dan jurutera.
Namun begitu kepakarannya di negara-negara maju seperti di United Kingdom dan Hong Kong sudah terbukti diperlukan dalam bidang pemuliharaan dan penyelenggaraan bangunan. Walaupun ia masih baru di sini, tetapi ia diperakui oleh JPA (Gred J41) dan sudah wujud di beberapa agensi awam kita seperti majlis-majlis perbandaran di Lembah Klang.
Juruukur bangunan ini juga terletak di bawah satu badan profesional iaitu Institut Juruukur Malaysia (ISM).
Ia mungkin berbunyi agak prejudis, namun saya rasa JKR perlu mempunyai jurukur bangunan kerana mereka ini mempunyai kepakaran di dalam kerja-kerja dan kos penyelenggaraan, mahir membuat analisis berkenaan reputasi dan hayat bangunan, dilapidation (satu cabang membaik pulih bangunan yang berkaitan dengan undang- undang), arif di dalam bidang building pathology dan juga dari segi reka bentuk bangunan.
Untuk pengetahuan semua, penyelenggaraan bangunan tidak hanya boleh dijalankan apabila sesuatu bangunan itu sudah diduduki, tetapi dari peringkat reka bentuk bangunan lagi.
Pada peringkat ini, penglibatan juruukur bangunan adalah penting dalam memberi nasihat berkenaan reka bentuk sesebuah bangunan oleh pihak arkitek.
Inilah yang diamalkan oleh sektor pembinaan di Hong Kong serta negara-negara maju yang lain dan kita telah mengadaptasinya ke dalam agensi penguasa tempatan di mana juruukur bangunan ini bertanggungjawab dalam proses kelulusan pelan bangunan.

0 Comments:

Post a Comment